Peralihan Ke Fasa Kedua PPN Bantu Pemulihan Ekonomi Johor – Hasni

JOHOR BAHRU, 23 Sept – Peralihan Johor ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula esok dilihat mampu meningkatkan usaha pemulihan ekonomi negeri dengan lebih banyak premis perniagaan dapat beroperasi semula.

Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad berkata ia juga sekali gus membantu menggerakkan semula aktiviti ekonomi yang terjejas sebelum ini berikutan pandemik COVID-19.

“Apabila lebih banyak pusat pelancongan, taman tema dan resort dibuka semula, aktiviti ekonomi akan lebih rancak dan memberi impak positif terhadap pendapatan rakyat, negeri dan negara.

“Kita juga pada masa yang sama mengharapkan agar kerajaan persekutuan melaksanakan gelembung pelancongan ke pusat peranginan di Desaru, Kota Tinggi dan Kepulauan Mersing,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hasni berkata seiring dengan peralihan ke fasa baharu itu juga usaha untuk meningkatkan kadar vaksinasi perlu diteruskan sekali gus membantu mencapai sasaran 90 peratus imuniti kelompok.

Beliau berkata semua agensi berkaitan akan memperhebatkan program vaksinasi termasuk secara capaian dan jumpa terus serta menghantar pasukan petugas ke kawasan yang dikenal pasti bagi memberi suntikan vaksin khususnya kepada golongan berkeperluan khas.

Usaha itu termasuklah mendapatkan data pekerja Johor yang telah menerima suntikan vaksin di Singapura supaya dapat segera dikemas kini dalam aplikasi MySejahtera.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin yang bersedia menghubungi rakan sejawatan beliau di Singapura untuk membantu mendapatkan data rakyat Malaysia yang telah menerima suntikan vaksin di negara berkenaan,” katanya.

Hasni berkata Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri Johor hari ini juga bersetuju untuk mengusulkan cadangan prosedur operasi standard (SOP) pembukaan sempadan iaitu bagi pengaturan perjalanan berulang-alik harian kepada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.