KKMM Komited Pastikan Negara Capai Internet Kelajuan Tinggi

KUALA LUMPUR, 23 Sept – Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) komited untuk memastikan capaian Internet kelajuan tinggi di seluruh negara terutama di Sabah dan Sarawak, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menterinya Tan Sri Annuar Musa berkata usaha itu melalui projek pembinaan tapak menara telekomunikasi baharu, menaik taraf pemancar sedia ada, menyediakan premis dengan gentian optik dan jalur lebar satelit.

“Komitmen untuk menjayakan ini adalah satu komitmen nasional yang besar, tidak dapat tidak, ia perlu dijayakan selaras dengan konsep yang kementerian anjurkan iaitu kesalinghubungan adalah hak asasi manusia,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Azizah Mohd Dun (Bersatu-Beaufort) mengenai langkah diambil bagi memastikan capaian internet kelajuan tinggi di Sabah.

Annuar berkata bagi Sabah, sebanyak 538 tapak menara telekomunikasi baharu dirancang dengan 51 telah disiapkan, 2,041 stesen pemancar dinaik taraf daripada sasaran 3,500 stesen, 81,268 daripada 251,165 premis menerima gentian optik sementara 138 lokasi dirancang bagi jalur lebar satelit.

Katanya, di Sarawak pula, 823 menara telekomunikasi baharu dirancang dengan 74 telah disiapkan, 1,615 stesen pemancar dinaik taraf daripada sasaran 3,012 stesen, 47,223 daripada 73,588 premis menerima gentian optik, manakala 523 lokasi dirancang bagi jalur lebar satelit.

Annuar berkata Sabah dan Sarawak menjadi tumpuan utama dalam program Jalinan Digital Negara (JENDELA) kerana tahap dan kualiti liputan di kedua-dua negeri itu terutama di kawasan pedalaman.

Beliau berkata bagi Sabah, melalui program JENDELA di bawah Pemberian Perkhidmatan Sejagar (USP) dan Komersial, masing-masing RM1.75 bilion diperuntukkan dan RM77 juta menerusi point of presence (PoP) kementerian.

“Bagi Sarawak, JENDELA USP RM2.045 bilion, bagi JENDELA komersial RM2.045 bilion dan untuk program-program PoP sebanyak RM80 juta.

Menjawab soalan tambahan Azizah mengenai masih banyak lokasi yang mengalami gangguan internet termasuk di kawasan bandar, Annuar memaklumkan pada masa ini, terdapat enam negeri yang mempunyai pencapaian liputan 4G jauh lebih rendah berbanding negeri-negeri lain.

“Negeri-negeri ini yang kurang daripada 95 peratus ertinya ada lima peratus atau lebih kawasan yang belum lagi sampai khidmat LTE atau Long Term Evolution adalah Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang dengan 90.25 peratus sahaja, Perak (94.81), Terengganu (94.22), Sabah (83.48) dan Sarawak (80.84 peratus).

“Maka dalam perancangan kita digital divide ini perlu segera dirapatkan, sebab itu bajet diberikan kepada negeri-negeri yang kesenggangan itu begitu ketara,” katanya.

Beliau berkata KKMM telah memperkenalkan Peta JENDELA pada Julai lepas bagi membolehkan pengguna melihat peta liputan, memberikan maklum balas dan status maklum balas. – BERNAMA