Hasil Kerajaan Naik 4.6 Peratus Kepada RM106.4 Bilion Pada Separuh Pertama 2021

KUALA LUMPUR, 23 Sept – Hasil kerajaan meningkat 4.6 peratus tahun ke tahun kepada RM106.4 bilion pada separuh pertama 2021, namun prestasi itu adalah lebih perlahan berbanding anggaran Belanjawan 2021, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd Shahar Abdullah berkata hasil kerajaan Persekutuan 2021 diunjur melonjak 4.2 peratus kepada RM236.9 bilion atau 15.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berdasarkan jangkaan peningkatan pertumbuhan ekonomi dan prospek perniagaan.

Menurutnya daripada jumlah itu, hasil cukai berjumlah RM80.2 bilion manakala hasil bukan cukai adalah RM26.2 bilion.

“Daripada jumlah hasil cukai itu, RM58.3 bilion adalah hasil cukai langsung manakala RM21.9 bilion merupakan hasil cukai tidak langsung,” katanya bagi menjawab pertanyaan Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang) mengenai kedudukan kewangan negara dari segi kutipan hasil negara dan tanggungan perbelanjaan, setelah pandemik COVID-19 melanda negara untuk tahun kedua.

Mohd Shahar berkata jumlah perbelanjaan kerajaan Persekutuan dalam tempoh separuh pertama 2021 adalah RM164.2 bilion, peningkatan 5.7 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Menurutnya, daripada jumlah itu, RM117.4 bilion atau 71.5 peratus disalurkan untuk belanja mengurus, RM28.4 bilion atau 17.3 peratus untuk belanja pembangunan, manakala baki RM18.4 bilion atau 11.2 peratus adalah perbelanjaan di bawah Kumpulan Wang COVID-19 (KWC-19).

Katanya sebahagian besar perbelanjaan yang merangkumi 65.5 peratus daripada jumlah belanja mengurus adalah bagi menampung perbelanjaan berkaitan emolumen (RM43.2 bilion), bayaran khidmat hutang (RM18.4 bilion) dan bayaran persaraan (RM15.3 bilion).

Bagi perbelanjaan pembangunan, Mohd Shahar berkata sebanyak 82.5 peratus daripadanya disalurkan kepada sektor ekonomi dan sosial.

“Sebahagian perbelanjaan di bawah KWC-19 adalah untuk membiayai program-program termasuk Bantuan Prihatin Nasional iaitu RM8.9 bilion, subsidi upah RM3.7 bilion, Geran Khas Prihatin (RM2 bilion) dan perbelanjaan berkaitan COVID-19 (RM1.6 bilion),” katanya.

Mohd Shahar berkata kerajaan memahami keresahan rakyat mengenai sasaran kutipan hasil yang tidak mencapai sasaran seperti diumumkan semasa belanjawan 2021.

Dalam Belanjawan 2021, defisit fiskal 2021 telah diunjurkan sebanyak 5.4 peratus berbanding KDNK berdasarkan jangkaan ekonomi akan berkembang pada kadar 6.5 hingga 7.5 peratus.

Bagaimanapun, katanya, susulan gelombang ketiga COVID-19, kerajaan telah melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan dan paras defisit fiskal 2021 telah disemak semula dengan jangkaan peningkatan 6.5 hingga tujuh peratus, mengambil kira unjuran penyusutan KDNK kepada tiga hingga empat peratus.

Sehubungan itu, beliau berkata Kementerian Kewangan mengumumkan langkah ke hadapan iaitu penyata pra bajet yang memaklumkan langkah meneroka hasil baharu, antaranya memperkenalkan nombor pengenalan cukai, memperketat kawalan ke atas perlesenan dan pengimportan produk tembakau.

Mengenai sama ada Malaysia telah mengalami defisit akaun semasa, beliau memberitahu, undang undang negara tidak membenarkan kerajaan mengalami defisit semasa pada sesuatu tahun kewangan secara keseluruhan.

“Namun pada tempoh separuh pertama 2021, kedudukan kewangan menunjukkan kerajaan telah mengalami defisit semasa berdasarkan ketidakpadanan antara hasil dan perbelanjaan. Ini bukan perkara baharu disebabkan ketidakpadanan ini dicatatkan sejak 2016.

“Bagaimanapun, hasil dijangka akan bertambah secara ketara pada separuh kedua 2021 di mana kutipan tambahan hasil berdasarkan pemfailan cukai syarikat yang hanya dimuktamadkan pada akhir Jun,” katanya. – BERNAMA