RM593 Juta Dibelanja Bagi Perolehan Darurat Peralatan Hospital Rawat COVID – Khairy

KUALA LUMPUR, 22 Sept – Sebanyak RM593 juta telah dibelanjakan bagi perolehan darurat peralatan tambahan hospital yang diperlukan bagi merawat kes COVID-19 sejak dua tahun lepas, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Khairy Jamaluddin
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata perolehan yang dibuat pada 2020 dan tahun ini (2021) telah diagihkan mengikut keperluan ke semua fasiliti kesihatan di seluruh negara.

“Ia termasuk peralatan seperti katil pesakit biasa, katil pesakit Unit Rawatan Rapi (ICU), ventilator, ultrabunyi, body freezer, kontena mayat, silinder oksigen dan lain-lain lagi.

“Ini tidak termasuk sumbangan peralatan yang diterima dari dalam dan luar negara yang bernilai RM148 juta,” katanya menjawab soalan Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (PH-Kapar) yang meminta Khairy menyatakan status kebolehupayaan alatan hospital kerajaan yang digunakan untuk merawat pesakit COVID-19.

Khairy berkata selain menambah peralatan hospital, Kementerian Kesihatan (KKM) juga menubuhkan ‘National Rapid Response Task Force’ supaya petugas kesihatan boleh dimobilisasi ke negeri-negeri yang mempunyai jangkitan kes tinggi ketika ini seperti Pulau Pinang, Kedah dan Sabah.

Menurut Khairy setakat ini seramai 223 petugas kesihatan telah dihantar ke Pulau Pinang, 156 ke Kedah dan 102 orang ke Sabah bagi memastikan kes-kes kritikal dapat ditangani dengan baik dan petugas kesihatan tidak mengalami burn out (keletihan melampau).

Menjawab soalan tambahan Abdullah Sani berkenaan sama ada KKM akan menubuhkan sebuah hospital kekal untuk merawat kes COVID-19, Khairy berkata buat masa ini KKM akan mengekalkan status hospital yang telah ditukarkan sebagai hospital penuh COVID-19 di negeri-negeri seluruh negara.

“Perancangan itu saya tak boleh sebut berapa lama, tetapi kita harap dengan penurunan kes, lebih banyak hospital hybrid yang mana sebahagian wad diambil alih (untuk rawat COVID-19) dapat dijadikan semula hospital biasa,” katanya.

Mengikut laman web covid-19.moh.gov.my, terdapat 100 hospital merawat COVID-19 di seluruh negara dengan lapan daripadanya adalah hospital penuh COVID-19 manakala selebihnya hospital hybrid.

Sementara itu Khairy berkata KKM kini sedang dalam usaha menambah pusat penilaian COVID-19 secara maya (VCAC) bagi mengurangkan kesesakan di pusat penilaian tersebut. – BERNAMA