Dewan Rakyat: 16 Menteri Dijangka Gulung Perbahasan Titah Diraja Hari Ini

KUALA LUMPUR, 22 Sept – Seramai 16 menteri dijangka menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja berkaitan kementerian masing-masing pada persidangan Parlimen hari ini, setelah berakhirnya sesi perbahasan semalam yang berlangsung sejak 14 Sept lepas.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat persidangan Dewan Rakyat, antara kementerian yang terlibat adalah Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Dalam pada itu, isu kajian semula gaji minimum, kes pelanggaran status makanan dan produk halal serta situasi pekerjaan belia ketika pandemik COVID-19 antara yang bakal dikupas semasa sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan.

Semasa sesi soal jawab lisan itu, Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) bertanyakan Menteri Sumber Manusia mengenai tahap pelunasan komitmen kerajaan serta perincian usaha dalam kajian semula gaji minimum.

Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) pula bertanyakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkenaan langkah mengatasi dan jumlah kes pelanggaran status makanan serta produk halal sama ada yang diimport atau keluaran dalam negara.

Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 adalah sidang Parlimen yang pertama di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung selama 17 hari hingga 12 Okt. – BERNAMA