Annuar Cadang Wujud Pusat Kawalan Komunikasi, Bantu Salur Maklumat Diputuskan Kerajaan

KUALA LUMPUR, 22 Sept – Satu pusat kawalan komunikasi dicadang diwujudkan dalam usaha menyampaikan maklumat diputuskan kerajaan kepada masyarakat dengan lebih tepat, pantas dan mudah difahami, Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata cadangannya itu susulan cabaran-cabaran dihadapi dalam pelaksanaan program kerajaan yang didapati antara lain berpunca daripada maklumat salah dan maklumat palsu.
ANNUAR MUSA
Menegaskan bahawa kerajaan memandang amat serius mengenai keberkesanan penyampaian maklumat, beliau berkata satu kajian sedang dijalankan supaya pusat kawalan berkenaan kelak dapat berfungsi dengan lebih berkesan.

“Sesebuah kerajaan berkesan adalah kerajaan yang dapat menyampaikan maklumat pantas dan cepat serta difahamai rakyat,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Di peringkat Jemaah Menteri pula, Annuar berkata satu jawatankuasa yang dipengerusikannya dibentuk melibatkan 10 menteri yang akan bersidang setiap minggu bagi membuat penelitian dalam aspek berkaitan komunikasi kerajaan.

Selain usaha itu yang memberi penekanan kepada komunikasi berkesan, Annuar berkata jentera penerangan kerajaan akan diperkemas bukan sahaja di peringkat Jabatan Penerangan yang berada di daerah-daerah, tetapi juga penglibatan komuniti.

Ini katanya termasuk menghidupkan komuniti Keluarga Malaysia iaitu satu bentuk kerjasama badan bukan kerajaan di akar umbi agar mereka dapat bersama-sama dengan kerajaan di bawah konsep pemerkasaan komuniti untuk menyampaikan dan menerima mesej kerajaan.

Pada masa sama, kementerian juga, kata beliau berharap Pusat Internet Komuniti yang ada di seluruh negara dapat diubah suai untuk turut menjadi pusat yang menjadi tempat penyaluran maklumat boleh disampaikan.

“Pada masa ini ada hampir 800 pusat internet yang akan diubah menjadi pusat digital ekonomi Keluarga Malaysia dan mereka juga dengan kemudahan yang ada akan turut membantu usaha kerajaan menyampaikan maklumat kepada rakyat.

“Usaha-usaha lain saya fikir memang telah diketahui, di mana agensi di bawah kerajaan termasuk RTM, Bernama, Jabatan Penerangan telah jalankan usaha bersesuaian dengan kaedah-kaedah semasa menggunakan pelbagai media bukan sahaja secara bersemuka, tetapi juga melalui sosial media dan kaedah-kaedah terkini,” katanya.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata beliau menerima hakikat dan pandangan Ahli-ahli Parlimen bahawa usaha-usaha penyampaian maklumat perlu dipertingkat dan usaha-usaha merekayasa sistem itu perlu dilakukan.

“Oleh kerana saya baru di kementerian ini, saya perlukan sedikit masa untuk pastikan proses merekayasa sistem ini dapat dilakukan dengan berkesan,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.