Tiada Rancangan Bina Taman Tema Di Cameron Highlands – MB

KUANTAN, 21 Sept – Kerajaan Pahang tidak pernah menerima permohonan rasmi atau mengadakan sebarang rundingan dengan mana-mana pihak bagi membina sebuah taman tema di Cameron Highlands, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata dakwaan yang tersebar menerusi media sosial kononnya sebuah taman tema akan dibina di kawasan itu adalah tidak benar, dan beliau meminta semua pihak merujuk kepada kerajaan negeri bagi mendapatkan maklumat yang sebenar berhubung isu berkenaan.

“Tidak betul.. jangan percaya, setakat ini tiada sebarang permohonan rasmi, dan dalam mesyuarat Exco pun kita tidak pernah bincang perkara ini,” katanya pada sidang media selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) remaja di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Rangin di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan bahawa sebuah teman tema bernilai RM100 juta akan dibina di kawasan seluas 24 hektar di Cameron Highlands yang telah mendapat bantahan daripada pertubuhan bukan kerajaan dan penduduk setempat.

Turut hadir Timbalan Menteri Kewangan 1 Mohd Shahar Abdullah, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak, Pengarah Kesihatan Pahang Datuk Dr Nor Azimi Yunus dan Pengarah Pendidikan Pahang Mohammad Rosli Abdul Rahman.

Menyentuh isu berkaitan peralihan Fasa Dua ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Pahang, Wan Rosdy berkata semua kriteria telah dipenuhi, kecuali penggunaan bilangan katil di unit rawatan rapi (ICU) yang agak tinggi.
“Kadar vaksinasi dah lepas, kadar kebolehjangkitan pun bawah pada satu, cuma sekarang satu ini saja (penggunaan katil di ICU), oleh itu kita minta Majlis Keselamatan Negara beri pertimbangan khas untuk Pahang untuk beralih ke Fasa Tiga,” katanya.

Sementara itu merujuk kepada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang dijangka dibentangkan Isnin depan, Wan Rosdy berkata kerajaan negeri berhasrat melihat lebih banyak infrastruktur melibatkan jalan raya dan hospital di Pahang diberi keutamaan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.