Melaka Perlu Giat Usaha Dapat Kelulusan Tambah Baik Infrastruktur LTAM

MELAKA, 20 Sept – Kerajaan negeri Melaka perlu menggiatkan usaha untuk mendapatkan kelulusan kerajaan pusat bagi menyegerakan penambahbaikan infrastruktur Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam di sini.

Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam berkata ia berikutan projek menaik taraf LTAM yang berjumlah RM200 juta pernah diluluskan dalam Rancangan Malaysia ke-11 sebelum ini.

“Justeru, saya berharap kerajaan Persekutuan akan dapat memberikan kelulusan dalam Belanjawan 2022 yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada 29 Okt depan, khusus bagi meningkatkan lagi ekonomi negeri Melaka dalam sektor ini.

“Penambahbaikan ini termasuklah menambah bilangan ‘parking bay’ pesawat, menambah baik sistem pengurusan penumpang dan juga pemanjangan landasan bagi memberi keselesaan kepada pesawat agar boleh mendarat dengan kapasiti penuh yang seterusnya membuka ruang kepada lebih banyak laluan domestik dan antarabangsa bagi menyokong sektor pelancongan kesihatan dan pelancongan sosial yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena pembukaan Persidangan Pertama, Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-14 di Seri Negeri di sini hari ini.

Mohd Ali berkata Melaka begitu sinonim dengan perkhidmatan kesihatan berkualiti yang telah lama menjadi faktor yang menarik kedatangan pesakit khususnya dari Indonesia dan Singapura, melalui empat hospital swasta yang mempunyai keseluruhan 913 katil serta doktor-doktor pakar.

Beliau berkata sektor perkhidmatan terutamanya pelancongan merupakan antara sektor yang paling terkesan akibat penularan pandemik COVID-19.

Katanya, penutupan sempadan dan sekatan perjalanan memberi impak yang ketara dalam sektor berkenaan, yang menyaksikan kedatangan pelancong ke Melaka menurun 69.6 peratus pada 2020 berbanding kunjungan 18.73 juta pelancong pada 2019.

“Saya menggesa kerajaan negeri supaya terus mempelbagaikan produk baharu pelancongan, menaik taraf produk sedia ada serta melaksanakan pelbagai inisiatif promosi secara berterusan untuk menarik lebih ramai pelancong dan menjadikan Melaka sebagai destinasi pilihan utama apabila sempadan negeri dibuka kelak,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Ali berkata dalam mengharungi cabaran pandemik COVID-19, semua pihak wajar berganding bahu untuk bersama-sama membantu rakyat dengan 10 peratus gaji Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) telah dipotong bermula Januari hingga Disember 2021 untuk disalurkan ke Tabung Bantuan Bencana COVID-19 Negeri Melaka.

“Selain itu, sebahagian Imbuhan Tetap Keraian dan Imbuhan Tetap Khidmat Awam dalam kalangan penjawat awam negeri turut dipotong melalui kaedah potongan gaji bagi tujuan yang sama.

“Terima kasih saya ucapkan atas keprihatinan Ahli-Ahli Yang Berhormat dan penjawat awam dalam usaha untuk memberikan bantuan kepada rakyat yang amat terkesan pada masa ini,” katanya.

Persidangan Pertama, Penggal Keempat DUN Melaka ke-14 yang bermula hari ini hingga Khamis akan menyaksikan sebanyak 109 pertanyaan lisan dan 164 pertanyaan bertulis telah diterima untuk dijawab oleh kerajaan negeri.

Persidangan itu juga akan membentangkan dua usul dan satu rang undang-undang iaitu usul Ucapan Terima Kasih kepada Yang Dipertua Negeri Melaka Atas Ucapan Perasmian Pembukaan Persidangan Dewan Untuk Penggal Keempat, usul Memperkukuhkan dan Memperkasakan Ajaran Sunnah Wal Jamaah kepada Masyarakat di Negeri Melaka dan pembentangan rang undang-undang Enakmen Perbadanan Zon Ekonomi Pesisiran Pantai (Negeri Melaka) 2021. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.