Lebih 3.6 Juta Keluarga B40 Bakal Terima Pakej Penjagaan COVID-19

KUALA LUMPUR, 19 Sept – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini umum pemberian Pakej Penjagaan COVID-19 (PPC) yang dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 3.6 juta keluarga B40 sebagai persediaan ke arah era endemik COVID-19.

Perdana menteri berkata bantuan PPC dengan peruntukan lebih RM471.6 juta berkenaan mengandungi antara lain pek pelitup muka guna semula sebanyak empat keping setiap keluarga dan kit ujian kendiri COVID-19 sebanyak empat kit setiap keluarga.

Selain itu, setiap keluarga penerima akan memperoleh satu oksimeter nadi, termometer serta risalah panduan penggunaan dan info kesihatan.

“Usaha ini antara lain bertujuan meringankan beban kewangan perbelanjaan isi rumah B40 dan melatih diri membudayakan norma baharu sekali gus membantu melindungi keluarga mereka daripada jangkitan virus COVID-19,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail Sabri berkata pemberian PPC buat masa ini akan dimulakan dengan penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang sudah berkeluarga.

“Mereka ini adalah dalam kalangan isi rumah B40 yang sudah berkahwin dengan ada atau tidak mempunyai anak; ataupun ibu atau bapa tunggal yang mempunyai anak,” katanya menambah secara keseluruhan setakat ini terdapat 8.4 juta penerima BPR.

Katanya, kesemua perincian berhubung pelaksanaan PPC ini akan diumum Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.