Jendela: RM7.7 Bilion Persiap Sabah, Sarawak Untuk Beralih Kepada Teknologi 5g – PM

KOTA KINABALU, 16 Sept – Kerajaan memperuntuk sejumlah RM7.7 bilion melalui Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) sebagai langkah mempersiapkan Sabah dan Sarawak untuk beralih kepada teknologi 5G.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata menerusi peruntukan bagi tempoh lima tahun itu, sebanyak RM3.61 bilion akan disalur kepada Sabah manakala RM4.09 bilion kepada Sarawak.

Beliau berkata JENDELA menjanjikan liputan serta kemudahan Internet lebih baik dan meluas demi manfaat bersama khususnya di Sabah dan Sarawak.

“Kerajaan memahami keperluan dan kepentingan Keluarga Malaysia terhadap capaian Internet berkelajuan tinggi. Bagi mencapai hasrat ini, JENDELA 2021 hingga 2025 akan diperluaskan lagi,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Malaysia 2021 malam ini.

Turut hadir Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin, Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor, Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Ismail Sabri berkata perkhidmatan itu akan memberi manfaat kepada 3.8 juta penduduk di Sabah dan 2.8 juta penduduk di Sarawak.

“Semoga selepas ini kita tidak lagi mendengar ada Keluarga Malaysia yang terpaksa memanjat pokok atau bumbung rumah untuk mencari capaian Internet pada masa akan datang.

“Jaminan saya, kerajaan terus komited memperbaiki perkhidmatan jalur lebar di kedua-dua negeri ini. Tiada siapa yang akan dipinggirkan, semua orang akan memiliki akses kepada dunia digital dan semua orang boleh saling berhubung,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.