UMNO Sentiasa Bersama Rakyat… Santuni Mangsa Terkesan Banjir Hulur Bantuan- Shahril Hamdan

BAGAN SERAI, 27 Ogos – UMNO terbukti sentiasa bersama rakyat dengan turun padang walaupun pandemik COVID-19 masih menular sebagaimana yang dilaksanakan oleh Ketua Penerangan UMNO merangkap Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Shahril Hamdan yang menyantuni penduduk setempat selepas mereka ditimpa musibah dalam banjir baru-baru ini.

Shahril bersama-sama Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Perak, Mohd Arrif  Abdul Majid dan anggota Pemuda UMNO Bahagian Bagan Serai telah pergi menziarahi beberapa rumah akibat banjir dan terkini hampir 150 individu masih lagi berada di pusat pemindahan.

“Ada dikalangan mangsa-mangsa banjir di sini yang berpindah ke pusat pemindahan disebabkan paras air yang naik serta diuruskan oleh agensi-agensi yang terlibat dan ada juga yang masih tinggal di kediaman masing-masing.

“Walaupun tidak memaksa mereka keluar dari rumah dan tinggal di pusat pemindahan namun Pemuda UMNO tetap memberikan sumbangan bantuan makanan kepada mangsa-mangsa ini.

“Insya-Allah… kemungkinan besar mereka yang terjejas akan kembali ke rumah masing-masing dalam masa terdekat malah Pemuda UMNO Perak turut membantu dalam soal pembersihan rumah agar mereka kembali ke rumah dengan lebih selesa,” katanya kepada UMNO Online.

Bagi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Perak, Mohd Arrif Abdul Majid melahirkan kesyukuran kerana dapat memberikan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir.

“Alhamdulillah hari ini Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Perak bersama rombongan Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Shahril Hamdan telah menghantar bantuan makanan di dua kawasan yang terlibat banjir iaitu Changkat Lobak dan Alor Pongsu.

“Pemuda UMNO Negeri Perak telah menghantar bantuan makanan seperti beras, susu, tepung, gula dan juga minuman susu serta mendoakan agar penduduk yang terkesan banjir ini selamat dibawa pulang ke rumah masing-masing,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.