Terima Kasih Atas Kepercayaan, Pendekatan ‘Keluarga Malaysia’ Depani COVID-19 – Noraini

KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas kepercayaan yang telah diberikan kepada beliau.

Noraini berkata demikian ekoran pelantikannya sebagai Menteri Pengajian Tinggi menerusi pengumuman barisan kabinet hari ini.

“Terima kasih kepada YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob atas kepercayaan yang telah diberikan. Insya-Allah amanah ini saya akan pikul sebaiknya berpandukan pendekatan ‘Keluarga Malaysia’.

“Sebagai satu keluarga, kita semua harus bersama-sama berganding bahu dan bersatu hati mendepani pandemik COVID-19.

“Bersama-sama kita berdoa pandemik ini segera berakhir agar kita semua terutamanya anak-anak pelajar dapat menikmati kehidupan dan pembelajaran seperti biasa,” katanya menerusi respon terhadap hal terbabit yang dimuatkan dalam laman facebooknya, hari ini.

Ismail Sabri hari ini mengumumkan senarai barisan ‘Kabinet Berorientasikan Hasil’ melibatkan 31 menteri termasuk empat menteri kanan yang akan menjadi pasukan pengurusan yang bekerja bersama rakyat, serta 38 timbalan menteri. – UMNO Online