Tahniah, Selamat Bertugas Kepimpinan Baharu, Lakukan Terbaik Demi Negara – Shamsul Anuar

KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah merakamkan ucapan tahniah di atas pembentukan barisan kabinet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub, hari ini.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Lenggong berharap agar kepimpinan baharu ini akan melakukan yang terbaik demi negara.

“Saya rakamkan harapannya pasukan ini akan melakukan yang terbaik untuk negara dan rakyat kerana itulah yang ditunggu oleh semua.

“Saya pastinya bersyukur kerana UMNO/BN kembali menerajui Kerajaan, dan saya dapat sedikit menyumbang hingga UMNO kembali menerajui serta membentuk Kerajaan. Tahniah kepada semua,” katanya dalam kenyataan berkaitan hal terbabit menerusi laman facebooknya.

Ujar beliau, jaga rakyat kerana ini keutamaannya.

“Kepada Allah kita berserah. Kerana Dia yang mengatur semuanya. Alhamdulillah,” katanya lagi.

Dilaporkan, Perdana Menteri hari ini mengumumkan “Kabinet berorientasikan hasil” yang perlu berlandaskan kepada tiga prinsip iaitu peka dengan keperluan semasa, bertanggungjawab dan amanah serta mengembalikan semula keyakinan rakyat. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit