RUU Perbadanan Taman Negeri Dan Majlis Biodiversiti Bukti Komitmen Kerajaan Negeri – Sharkar

KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata RUU Perbadanan Taman Negeri serta RUU Majlis Biodiversiti Negeri Pahang bukti komitmen kerajaan negeri dalam usaha kawal selia Taman Negeri dan Biodiversiti negeri tersebut.

Menurut beliau kerajaan negeri berpandangan bahawa mereka mesti mempunyai punca kuasa bagi mengawal selia Taman Negeri dan Biodiversiti di negeri tersebut.

“Pada 25 Ogos 2021 lalu, saya telah membentangkan Rang Undang Undang (RUU) Enakmen Perbadanan Taman Negeri Pahang 2021 dan RUU Majlis Biodiversiti Negeri Pahang pada Mesyuarat Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14.

“Dua RUU itu mendapat sokongan 33 Ahli Dewan Negeri dan sembilan tidak bersetuju bukan membabitkan soal pokok RUU tersebut tetapi membabitkan beberapa klausa yang pada pandangan sembilan Ahli Dewan Negeri terbabit, mereka tidak bersetuju.

“Namun, bagi Kerajaan Negeri Pahang, kita berpandangan bahawa Kerajaan Negeri mesti mempunyai punca kuasa bagi mengawal selia Taman Negeri dan Biodiversiti di Negeri Pahang,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Sharkar lagi, Majlis Biodiversiti misalnya, bertujuan untuk perlindungan alam semula jadi, flora dan fauna yang akan menjadi penasihat kepada Kerajaan Pahang dan menerusinya akan ada penguatkuasaan, dasar-dasar ditetapkan bagi melindungi harta intelek negeri ini membabitkan aspek flora dan faunanya.

Menerusinya juga tambah Sharkar lagi, ia seolah-olah Kerajaan Negeri membuat lingkaran pagar supaya tiada lagi kebebasan untuk mana-mana pihak yang pada ketika ini ‘bebas’ memasuki kawasan hutan di negeri ini.

“Begitu juga membabitkan taman-taman negeri, Pahang mempunyai keluasan hutan yang luas iaitu 2.057 juta hektar atau, 57 peratus daripada keluasan tanah negeri Pahang yang seluas kira-kira 3.6 juta hektar.

“Dengan banyaknya kawasan hutan lipur, tanah tinggi, sungai-sungai dan tasik, adalah sukar untuk pihak Jabatan Perhutanan Negeri Pahang melaksanakan aspek penjagaan, jadi kita perlu serahkan kepada pihak swasta atau operator berkenaan yang mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut.

“Jadi, dengan adanya Perbadanan Taman Negeri dan Majlis Biodiversiti, ia akan ada pihak yang mengawal selia isu membabitkan dua RUU berkenaan. Pahang juga merupakan negeri terawal mempunyai majlis berkenaan selepas Sabah dan Sarawak yang mana ia sekali gus memperlihatkan kesungguhan Kerajaan Negeri untuk melaksanakannya,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.