Kabinet Berorientasikan Hasil Perlu Peka, Amanah Dan Kembalikan Keyakinan Rakyat – PM Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 27 Ogos – “Kabinet berorientasikan hasil” yang diumumkan hari ini perlu berlandaskan kepada tiga prinsip iaitu peka dengan keperluan semasa, bertanggungjawab dan amanah serta mengembalikan semula keyakinan rakyat, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana menteri berkata beliau akan memastikan barisan Kabinet komited menjayakan agenda negara, melalui jalinan kerjasama rentas parti bagi memacu pemulihan ekonomi demi kesejahteraan rakyat.

Beliau juga berikrar akan memastikan Kabinet baharu itu menekankan budaya kerja berprestasi tinggi dan setiap kementerian perlu membuat perancangan jangka pendek dan panjang, serta mencapai sasaran yang ditetapkan, selain perlu membuktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari pertama.

“Barisan kabinet ini dipilih daripada kombinasi mereka yang berpengalaman, diyakini mampu membantu negara memulihkan ekonomi dengan menyokong usahawan, memudah cara perniagaan, dan merancakkan semula aktiviti ekonomi serta meningkatkan keyakinan pelabur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan senarai jemaah menteri dan timbalan menteri baharu yang disiarkan secara langsung menerusi stesen-stesen televisyen tempatan.

Ismail Sabri berkata Kabinet yang dibentuk hari ini adalah satu pasukan pengurusan yang akan bekerja bersama rakyat dan mengambil pendekatan baharu yang bersifat lebih terbuka, dengan menyantuni aspirasi Keluarga Malaysia melalui penyampaian perkhidmatan dan maklumat yang lebih efisien.

“Kabinet ini perlu bertindak pantas dan bersepadu dalam usaha membebaskan Malaysia daripada ancaman pandemik COVID-19, kegawatan ekonomi serta kekusutan politik.

“Umum mengetahui saya menerima kerajaan ini dalam keadaan seadanya. Justeru, pembentukan Kabinet ini merupakan satu formulasi semula berdasarkan situasi semasa, demi mengekalkan kestabilan dan meletakkan kepentingan serta keselamatan Keluarga Malaysia lebih daripada segala-galanya,” katanya.

Pada masa sama, beliau berharap pelantikan Kabinet berkenaan akan memberi keyakinan baharu untuk negara bangkit dan bersatu dalam melawan COVID-19 serta membebaskan Keluarga Malaysia daripada kesengsaraan hidup akibat pandemik.

Mengakui bahawa negara sedang berada dalam keadaan yang getir akibat COVID-19, kegawatan ekonomi dan diburukkan lagi dengan ketidakstabilan politik negara, Ismail Sabri berkata misi memulihkan negara memerlukan Jemaah Menteri berusaha dan bekerja bersama dengan rakyat serta dukungan semua penjawat awam.

Ismail Sabri berkata berdasarkan ramalan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), masyarakat akan hidup bersama COVID-19 sebagai endemik, yang bersifat kekal dan menjadi sebahagian daripada kehidupan manusia.

Beliau berkata dunia mencatatkan kemunculan Variant of Concern atau varian membimbangkan (VOC) yang lebih agresif dan rekod di seluruh dunia menunjukkan mereka yang telah divaksinasi masih boleh dijangkiti COVID-19.

Selain itu, penularan COVID-19 di peringkat global dan dalam negara turut memberi kesan langsung kepada pertumbuhan dan permintaan ekonomi tempatan.

“Saya juga akui keadaan ekonomi negara perlu dipulihkan segera. Sehubungan itu, barisan kabinet dan kementerian perlu dipastikan berupaya menggalas tanggungjawab ini dengan komited dan lebih proaktif,” katanya.

Kerajaan juga akan memperkasa Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dalam mendidik Keluarga Malaysia untuk hidup bersama virus itu selain perlu terus mengawal segala risiko COVID-19 dan mengamalkan norma baharu dalam kehidupan seharian.

“Selaras dengan hala tuju Pelan Pemulihan Negara (PPN), aktiviti ekonomi akan dibuka secara berfasa bagi membolehkan rakyat mula bekerja dan mencari nafkah dengan selamat,” katanya.

Ismail Sabri menyeru seluruh rakyat untuk bangkit bersama memulihkan negara dan mengembalikan semula kegemilangan Malaysia di mata dunia. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.