Kabinet Baharu Penuhi Aspirasi ‘Keluarga Malaysia’ – Bung Moktar

KOTA KINABALU, 27 Ogos – Pembentukan Kabinet baharu yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini membuktikan frasa ‘Keluarga Malaysia’ diterjemahkan dalam memanuhi aspirasi rakyat khususnya di Sabah dan Sarawak.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata pelantikan enam wakil dari Sabah, dua Sarawak untuk menteri penuh dan empat timbalan menteri dalam barisan kabinet baharu disifatkan sebagai pengiktirafan.

Sambil menzahirkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas pelantikan tersebut,Bung Moktar berharap di bawah barisan kepimpinan kabinet baharu mampu mewujudkan satu pasukan yang mantap dan berwibawa sebagaimana yang ditekankan oleh Perdana Menteri sebelum ini iaitu satu pasukan pengurusan yang berkerja sama bersama rakyat.

“Kita sedar dan insaf, pada ketika rakyat masih bergelut dengan penularan pandemik Covid-19 dan keadaan ekonomi yang sangat mencabar, rakyat menaruh harapan cukup besar kepada Kabinet baharu ini” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan disini bagi mengulas pembentukan Kabinet baharu yang diumukan oleh Perdana Menteri hari ini.

Menurut Bung Moktar, kejayaan sesebuah kabinet itu bergantung kepada kerjasama dan ahli kabinet yang perlu memainkan peranan dan tanggungjawab dengan telus demi kepentingan rakyat.

Di samping katanya, strategi pelaksanaan penting dalam memastikan kedudukan institusi kerajaan yang kukuh dan diperkasakan di mata rakyat iaitu negara perlu ditadbir secara strategik agar pentadbiran baharu dapat membawa negara ke landasan ekonomi yang betul serta mengawal penularan pandemik COVID-19.

“Kita juga mengharapakan kabinet baharu ini perlu mempunyai satu idea baharu disusuli dengan tindakan-tindakan yang pantas. Rakyat mahu apabila sesuatu itu diumumkan, kerajaan sudah bersedia untuk melaksanakannya, bukan untuk menunggu lagi,” katanya.

Mengulas pelantikan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin satu-satunya pemimpin yang mewakili UMNO Sabah sebagai Timbalan Menteri Pendidikan II, Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah berkata pelantikan tersebut merupakan satu pengiktaran kepada UMNO Sabah sebagai gabungan utama kerajaan iaitu Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Pelantikan ini kita amat hargai dan bertepatan dengan isu isu pendidikan yang masih menjadi cabaran kita di Sabah dan berharap beliau (Mohamad) akan lebih memahami isu dan keperluan pendidikan di Sabah untuk disuarakan secara langsung kepada kerajaan dan Kementerian Pendidikan” jelas Bung Moktar.

Dalam pada itu Bung Moktar juga menyambut baik pelantikan Datuk Arthur Joseph Kurup sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya yang beliau sifatkan sebagai jambatan antara Kementerian Kerja Raya di peringkat pusat dan negeri dalam mewujudkan kolabarasi lebih padu bagi memenuhi keperluan pembangunan insfrastruktur seperti jalan raya, bekalan air dan lain-lain di Sabah yang masih jauh ketinggalan.

“Penempatan beliau (Arthur) sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya amat sesuai dan kita mengharapkan segala isu berhubung dengan keperluan pembangunan insfrastrukur di Sabah dapat disuarakan.

“Ini kerana di peringkat negeri kita masih mengharapkan bantuan terutamanya peruntukan dari kerajaan Pusat untuk membangun dan meningkatkan kemudahan insfrastruktur seperti jalan raya dan bekalan air bersih di Sabah,” jelas Bung Moktar lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.