MKT UMNO Junjung Perkenan Agong, Sedia Bantu PM Pastikan Kelancaran Pentadbiran Kerajaan

KUALA LUMPUR, 27 Ogos – UMNO mesti menjadi pelopor kepada usaha reformasi institusi dalam pelbagai cabang kerajaan termasuklah untuk mewujudkan Parlimen yang lebih efisien, pentadbiran telus dan bersih, pendanaan politik, Akta Anti Lompat Parti, campur tangan politik dalam pelbagai institusi-institusi yang menjadi benteng kedaulatan undang-undang seperti Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Polis DiRaja Malaysia dan lain-lain.

Demikian tegas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataan media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang diadakan di Ibu Pejabat parti, Menara Dato’ Onn, malam ini.

Terdahulu, katanya, MKT menjunjung kasih kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas perkenan baginda melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Perdana Menteri Malaysia ke-9.

“MKT UMNO mendokong penuh pelantikan tersebut dan parti akan membantu Perdana Menteri merangkap Naib Presiden 1 UMNO bagi memastikan kelancaran perjalanan pentadbiran kerajaan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, beberapa panduan utama telah dibincangkan dan dipersetujui MKT bersama Perdana Menteri merangkap Naib Presiden 1 UMNO, antaranya:

i. Menyahut titah saranan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk mengadakan kerjasama dan permuafakatan rentas parti bagi bersama-sama menangani kemelut ekonomi, pandemik Covid-19 dan kesejahteraan rakyat.

ii. Kerajaan baharu ini hendaklah segera memfokuskan usaha untuk menangani pandemik Covid-19 dan proses vaksinasi agar mencapai imuniti kelompok yang mampu mengurangkan risiko kematian akibat serangan virus.

iii. Kerajaan mesti menyantuni kehendak dan tuntutan rakyat berkaitan kebajikan dan kesejahteraan mereka termasuklah penambahbaikan pakej-pakej bantuan rakyat (BPN, BPR dan BKC), moratorium tanpa faedah terakru, pengeluaran i-Citra secara one-off dengan jumlah minimum RM10,000 dan bantuan kepada pengusaha kecil dan sederhana yang terjejas teruk akibat pandemik.

iv. Kerajaan terus menggunakan jenama ‘KELUARGA MALAYSIA’ dan Kerajaan Malaysia serta tidak lagi menggunakan penjenamaan Kerajaan Perikatan Nasional memandangkan kerajaan ini merupakan kerjasama politik longgar antara Parti Barisan Nasional (UMNO, MCA, MIC dan PBRS), Parti Perikatan Nasional (PPBM, PAS dan STAR), GPS dan PBS.

v. Kerajaan hendaklah mempertahankan peranan dan sistem demokrasi berparlimen sebagai wahana semak dan imbang kepada kerajaan.

vi. Penubuhan segera Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) bagi menyiasat segala pendedahan yang dilakukan oleh Tommy Thomas mengenai campur tangan politik dalam Institusi-institusi Peguam Negara, Kehakiman dan Keselamatan yang menjadi benteng mempertahankan Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang Negara. – UMNO Online

[gview file=”https://umno-online.my/wp-content/uploads/2021/08/KENYATAAN-MEDIA-27-Ogos-2021.pdf”]

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.