Ulang Tahun Kedua Skuad Sabil: Setia Berkhidmat Juarai Agenda Bantu Rakyat

KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Tanggal 25 Ogos tahun ini merupakan ulang tahun bersejarah dua tahun penubuhan Skuad Sabil yang telah menjadi sebahagian daripada kerangka utama wadah Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

Kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Skuad Sabil sentiasa menyelami asas penubuhannya bagi menyemai semangat sukarelawan dan pengorbanan dalam menghayati idealisme, roh, akal dan jiwa perjuangan UMNO untuk memartabatkan Agama, bangsa dan negara tercinta sekaligus membela nasib rakyat dan ummah keseluruhannya.

“Bermula dengan keahlian seramai 300 orang, kini Skuad Sabil mempunyai kekuatan ahli terlatih seramai lebih 2,500 orang dari Perlis hinggalah ke Sabah dan sentiasa memerah keringat dan berusaha membantu golongan yang memerlukan.

“Kekuatan ini jugalah yang saban hari membantu rakyat baik pengurusan bencana, petugas di pusat pemberian vaksin, menjalankan kerja-kerja nyahkuman (sanitasi), mengawal keselamatan dan pelbagai lagi bantuan melalui agenda #PemudaBantuRakyat, tanpa mengira bangsa atau agama,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Seterusnya Dr Asyraf mengucapkan syabas dan terima kasih buat Skuad Sabil di seluruh tanahair atas jasa dan pengorbanan.

“Semoga khidmat anda, bakti anda, perjuangan anda membantu rakyat ini diberikan keberkatan oleh Allah SWT.

“Teruskan usaha murni ini, dan teruslah bersama menyelami denyut nadi rakyat,” katanya. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.