Politik Matang: Rafak Sembah Titah Sultan Perak, Pendekatan Kerajaan Negeri Demi Kebajikan Rakyat – Hamidi

KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Lenggong Mohamad Hamidi Baharuddin merafak sembah titah ucapan Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-14 yang menzahirkan langkah berani Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad dalam memberikan peruntukan sama rata kepada kesemua 59 ADUN tanpa mengira naratif politik.

“Pengalaman menjadi kerajaan dan pembangkang sebelum ini banyak mengajar erti sebenar konsep kesamarataan khususnya dalam melibatkan kebajikan rakyat di Negeri Perak umpama menyambung biar panjang, menyebar biar lebar.

“Apa sahaja pendekatan yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri adalah bergantung sepenuhnya kepada nawaitu masing-masing untuk dinilai, jika dilihat dari sudut positif maka putihlah ia, namun jika dinilai dari aspek negetif maka akan terjadilah sebaliknya.

“Didoakan supaya kita terus istiqamah dalam setiap perkara yang kita jalani agar memperoleh redha Allah SWT,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Semalam ketika merasmikan Mesyuarat Pertama, Tahun Keempat, Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Keempat Belas, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah bahawa langkah yang dirintis oleh Saarani yang mengenepikan diskriminasi dalam kalangan wakil rakyat kerajaan dan pembangkang, merupakan langkah berani memperkenalkan budaya baharu dalam pentadbiran negeri.

Begitu juga baginda bertitah agar setiap Ahli Dewan hendaklah menyambut langkah tersebut dengan menunjukkan sikap timbal balik yang menghargai budaya baharu ini dengan mempamerkan semangat politik matang beraras tinggi, saling bekerjasama, saling menghormati, saling membantu usaha-usaha yang dilaksanakan untuk kepentingan negeri dan kepentingan rakyat.

Ketika membentangkan Bajet 2021 tahun lalu, Saarani yang juga ADUN Kota Tampan mengumumkan peruntukan yang sama untuk kesemua 59 ADUN termasuk pembangkang.

Di samping itu, wakil rakyat pembangkang juga dijemput dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah, Jawatankuasa Kumpulan Fokus Daerah dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.