Pertemuan PM Bersama Parti Pembangkang Bukti Konsep Keluarga Malaysia Bukan Retorik Politik

KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris berkata pertemuan antara Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan ketua parti pembangkang membuktikan konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkannya bukanlah retorik politik semata-mata.

Katanya, Malaysia kini bergerak ke arah politik baharu yang lebih universal dan kondustif yang jelas memberikan manfaat lebih kepada rakyat dan negara serta meredakan krisis politik.

“Kerjasama antara parti-parti politik juga selaras dengan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong supaya bersatu hati mewujudkan perpaduan dan penyatuan semua parti-parti politik.

“Inilah erti kemerdekaan iaitu merdeka daripada krisis politik. Ketegangan politik selama ini hanya merugikan kita dan lebih teruk parti politik akan dibenci rakyat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Ujar Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu itu, pertermuan tersebut menunjukkan Perdana Menteri berjiwa besar serta membuktikan kematangan politik beliau.

“Alhamdullilah pertemuan ini juga mematikan fitnah tentang UMNO dan Jajaran Baru. Ketua Pembangkang menegaskan tidak berminat untuk memegang apa-apa jawatan kerana ia tidak dibangkitkan oleh Perdana Menteri.

“Kini adalah masa kita bekerja untuk rakyat dan mencari persamaan dalam perbezaan. Terus melangkah ke hadapan ke arah politik baharu yang pro-rakyat,” ujarnya lagi.

Semalam, dalam satu pertemuan Perdana Menteri bersama Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung Dap Lim Guan Eng di pejabatnya, Perdana Menteri berkata semua bersetuju mewujudkan keadaan lebih kondusif dalam pelbagai perkara untuk rakyat dan negara dalam konteks Keluarga Malaysia.

Ke arah itu, Perdana Menteri berkata kesemua pemimpin bersetuju peri pentingnya kebebasan badan kehakiman, reformasi institusi dan tatakelola kerajaan yang baik.

Perdana Menteri berkata ia juga tertumpu kepada agenda kepentingan rakyat dalam mencari titik persamaan terbaik bagi menangani krisis pandemik COVID-19.

Ini termasuk dalam menjaga nyawa dan keselamatan diri daripada ancaman wabak dan membebaskan rakyat daripada cengkaman ekonomi berikutan kehilangan pekerjaan dan pendapatan.

Ismail Sabri berkata ia juga diadakan bagi menjunjung dan merealisasikan titah hasrat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk meredakan suhu politik dalam negara. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.