Pemimpin Ibarat Nakhoda Kemudi Bahtera Tuju Destinasi, Tanggungjawab Perlu Digalas Dengan Amanah & Teliti

KUALA LUMPUR, 26 Ogos – “Segalanya bermula dan berakhir dengan kepemimpinan” dan pemimpin ibarat nakhoda yang mengemudi bahtera menuju destinasi, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Armand Azha Abu Hanifah.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Subang itu, tanggungjawab perlu digalas dengan amanah dan teliti serta peluang menggapai cita-cita lebih terjamin sekiranya pemimpin mempunyai iltizam, kesungguhan dan kesabaran tinggi.

“Pemimpin juga perlu memiliki gabungan empat ciri utama, iaitu kekuatan kemahiran dan kompetensi bersesuaian (qawiy); beramanah serta berintegriti (amin); mampu memelihara (hafiz); serta berilmu, pengetahuan dan bijaksana (alim).

“Pemimpin dan pendokong setia harus mempunyai hubungan dinamik saling lengkap-melengkapi. Apabila menelusuri sejarah hidup pemimpin ulung dunia, kita dapati mereka dikelilingi pengikut setia mendukung aspirasi,” katanya dalam satu catatan yang disiarkan di Facebooknya.

Jelasnya lagi, kedua-dua pihak ibarat cermin pantulan saling bergantungan antara satu sama lain.

“Dalam kalangan pengikut setia, muncul pemimpin baharu yang bakal mewarisi legasi dan kegemilangan organisasi.

“Keseimbangan antara pemimpin membuka ruang luas untuk dimuhasabah dan ditegur kesilapannya dengan kewujudan golongan pengikut berani menegur kesalahan pemimpin dengan penuh hikmah dan bijaksana. Ia resipi kejayaan manusia dan organisasi,” ujarnya.

Tambahnya lagi, konsep syura, ukhuwah mantap dan disiplin tinggi mengikat pemimpin dengan kumpulan pengikutnya, ibarat aur dengan tebing saling memperkuat.

“Kita mengingatkan tanggungjawab utama pengikut adalah memastikan pemimpin sentiasa berada atas jalan lurus dan benar.

“Jangan biarkan pemimpin terlupa disebabkan virus-virus opportunist mula mendekati kerana berkepentingan.

“Ketika susah siapa bersama? Ketika senang siapa yang bersama? Ketika dihina siapa bersama, ketika dicerca siapa bersama? Berkata benar walaupun pahit,” tegasnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.