Agong Berkenan Terima Persembahan Senarai Jemaah Kabinet Baharu Dari PM – Istana Negara

KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Istana Abdulaziz di Kuantan, Pahang hari ini.

Istana Negara dalam satu hantaran di Facebook berkata, pada sesi menghadap yang berlangsung selama 1 jam 30 minit bermula jam 11.00 pagi tadi, Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima persembahan senarai anggota Jemaah Kabinet baharu dari Ismail Sabri susulan pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri ke-9 pada 21 Ogos 2021 lalu.

“Sesi menghadap hari ini merupakan yang kali kedua bagi Yang Amat Berhormat (YAB) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Perdana Menteri. Sesi menghadap yang pertama telah berlangsung selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia beliau sebagai Perdana Menteri di Istana Negara pada 21 Ogos 2021 lalu,” katanya.

Seterusnya, usai sesi menghadap, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong telah berkenan mengurniakan santapan tengah hari kepada Perdana Menteri di Istana Abdulaziz. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.