Kerajaan Baharu Wajar Bentang RUU Tentang Dana Politik Di Parlimen – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kerajaan yang baharu wajar bentang Rang Undang-undang di Parlimen tentang dana politik kerana walaupun dana politik ketika ini dibenar di Malaysia namun masih belum di kawal dengan akta.

Ujarnya, akta pendanaan politik itu mesti melindungi pemberi dan penerima agar tidak dizalimi oleh musuh politik yang mengguna agensi-agensi tertentu.

“Saya pernah tanya soalan kepada Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat adakah dana politik dikenakan cukai? Jawabnya tidak

“41 pihak disita dan 80 pihak dikompaun dengan tuduhan mereka terima wang tertentu, namun yang terima tidak tahu asal usul wang dan fikir itu dana politik. Jadi adakah itu adil?” soalnya.

Beliau berkata demikian menerusi ciapan dalam Twitternya berkaitan isu terbabit.

Terdahulu, beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi semalam atas dua pertuduhan gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memberi penyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau pertama kali membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh selepas mahkamah membenarkan permohonannya untuk memindahkan kes berkenaan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi pada 13 Julai lepas. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.