Demi Denyut Nadi Rakyat, UMNO Aplikasi Pendekatan Dengan Situasi Semasa – Raime

KUALA LUMPUR, 25 Ogos – UMNO sentiasa menyesuaikan keadaan atau pendekatan dengan situasi semasa agar dapat terus memenuhi suara hati dan denyut nadi rakyat, kata Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Raime Unggi.

Ujarnya, UMNO dalam semua peringkat termasuklah penerangan mempunyai peranan yang amat besar kepada parti.

“Peranan ketua penerangan bukan hanya memberi penerangan tetapi juga menjadi jambatan dalam kalangan ahli agar kesepaduan dan kebersamaan terus dijalin di semua peringkat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena perasmian pertandingan Pidato Online UMNO Malaysia (PUMAS) Peringkat Negeri Sabah, malam tadi.

Dalam hal ini, Raime merakamkan penghargaan kepada Penerangan UMNO Malaysia yang diketuai oleh Shahril Hamdan kerana buat julung kalinya mengaplikasi pertandingan pidato secara maya.

“Pendekatan ini amat sesuai dengan suasana sekarang dan tentunya ia juga akan dapat merancakkan usaha untuk melahirkan bakat-bakat baru dalam pidato yang boleh diaplikasi untuk persediaan ke arah Pilihan Raya Umum ke-15,” katanya.

Beliau turut mengalu-alukan penyertaan dari bahagian-bahagian di Negeri Sabah yang memberikan sambutan menggalakkan dengan petandingan dilaksanakan secara maya bermula semalam sehingga esok dengan pemenangnya akan bertanding di peringkat pusat.

Pertandingan Pidato Online ini diadakan secara berperingkat dengan fasa peringkat negeri bermula 8 Ogos sehingga 31 Ogos 2021. Ia terbuka kepada ahli UMNO berusia 18 tahun ke atas, dengan dua wakil setiap bahagian UMNO dan diuruskan oleh Penerangan UMNO Negeri masing-masing. Tiga pemenang peringkat negeri akan bertanding di peringkat kebangsaan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.