Berilah Sedikit Masa Laksana Strategi Baharu… PM Faham Harapan Rakyat Terhadap Kerajaan – Najib Razak


KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak melihat Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memahami dan menggariskan keutamaan tentang apa yang harus dilakukan serta diusahakan oleh kerajaan untuk rakyat berdasarkan ucapan sulungnya.

Namun katanya, ia harus diberikan sedikit masa bagi pentadbiran baru ini menggubal strategi yang perlu dilaksanakan untuk mencapai objektif yang telah digariskan termasuklah untuk menangani COVID-19, menguruskan ekonomi dan memupuk semangat kecintaan sesama rakyat.

“Apa yang rakyat hendak ialah pembaharuan. Kalau strategi lama dan dasar lama tiada keberhasilan maka perlulah diubah, jadi cari pendekatan dan strategi baru perlu kerana kalau strategi lama tidak menampakkan ‘result’, maka kalau diteruskan ia tak boleh diharapkan ‘result’ yang baru ataupun peningkatan dari segi keberhasilan.

“Inilah yang rakyat harapkan berdasarkan daripada komen-komen yang saya teliti dalam media sosial,” katanya kepada media, hari ini.

Ahli Parlimen Pekan itu juga berkata pada masa sekarang tidak penting mengenai nama kerajaan kerana apa yang penting adalah pencapaian sebagaimana penekanan beliau semasa menjadi Perdana Menteri.

“Nama kerajaan baru tidak penting tapi pada saya yang lebih utama pencapaian dan ini adalah kerajaan baru iaitu kerajaan Persekutuan yang akan menentukan reaksi rakyat, penilaian rakyat yang pada akhirnya bukan pada nama tetapi pada keberhasilan ataupun ‘result’.

“Sebab itulah masa saya mentadbir negara saya mahukan pencapaian diutamakan bermakna kita mesti menunjukkan ‘result’ dan inilah yang rakyat hendak.”

Sebelum itu Najib telah menyumbang barang-barang keperluan asas kepada mangsa-mangsa banjir di Yan dan Merbok, Kedah.

“Saya hendak maklumkan inilah bantuan yang telah dapat saya usahakan dan ada pihak yang menyumbang bantuan ini dan saya ucapkan terima kasih.

“Lori ini membawa barang-barang keperluan seperti beras, pampers, susu, gula, plaster, panadol dan lain-lain lagi yang akan berlepas terus ke kawasan Yan dan Merbok.  Insya-Allah… akan sampai lewat hari ini dan akan disampaikan kepada mangsa-mangsa banjir,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.