Pidato Online PUMAS Antara Persiapan Untuk Hadapi PRU-15 – Shahril Hamdan
KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan menganggap pelaksanaan pertandingan Pidato Online Penerangan UMNO Malaysia (PUMAS) adalah antara salah satu persediaan ke arah menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.
Ujarnya, walaupun keadaan hari ini kembali meletakkan UMNO sebagai teraju dalam pimpinan kerajaan tetapi tidak boleh tidak persediaan untuk menghadapi PRU-15 mesti dilaksana.
“Walaupun dalam keadaan hari ini kita melihat bahawa kerajaan akhirnya diletakkan di bawah UMNO setelah gagal di bawah Pakatan Harapan (PH) dan beralih kepada Perikatan Nasional (PN) tetapi kita mesti tak boleh lari dari persediaan PRU-15.
“PRU-15 adalah medan sebenar untuk menguji bahawa rakyat menerima UMNO atau tidak. Betul kita sekarang menerajui kerajaan tetapi tak mengubah hakikat bahawa rakyat pada PRU-14 memilih untuk mengubah kerajaan dan kita belum diuji sama ada rakyat benar-benar telah memilih kita atau tidak, sampailah ke medan PRU-15,” katanya.
Ujarnya, biarpun dalam beberapa siri pilihan raya kecil yang berlangsung sebelum ini berpihak kepada UMNO namun ia bukanlah ukuran sebenar sehinggalah kepada PRU-15.
Shahril yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia berkata demikian dalam ucapan secara maya sempena Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Pidato Online peringkat Negeri Terengganu, hari ini.
Ujarnya, pandemik COVID-19 memberikan pelbagai cabaran yang perlu dihadapi dan dalam keadaan ini, Penerangan UMNO Malaysia juga mestilah menghadapi keadaan dalam norma baharu.
“Kita tak boleh membutakan diri dari data negara lain, sebagaimana mereka yang telah melalui proses vaksin tetapi masih tidak dapat keluar dari norma baharu. Kita kena persiapkan diri dalam kempen secara online juga dan penerangan adalah antara kompenan yang perlu sesuaikan diri dengan keadaan ini.
“UMNO dan parti-parti lain tak terkecuali gunakan produk-produk yang diminati sekarang ini. Kaedah dan saluran digital cuba gabungkan kaedah lama sama ada ceramah atau pidato tetapi menggunakan medium baharu.”
Dalam hal ini, Shahril merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat termasuklah penerangan UMNO negeri-negeri kerana begitu komited dan terlibat dalam pertandingan pidato walaupun dibuat secara online.
Pertandingan Pidato Online ini diadakan secara berperingkat dengan fasa peringkat negeri bermula 8 Ogos sehingga 31 Ogos 2021. Ia terbuka kepada ahli UMNO berusia 18 tahun ke atas, dengan dua wakil setiap bahagian UMNO dan diuruskan oleh Penerangan UMNO Negeri masing-masing. Tiga pemenang peringkat negeri akan bertanding di peringkat kebangsaan. – UMNO Online