Optimis Peserta Pidato ‘Online’ Mampu Julang Nama UMNO Perjelas Isu Semasa – Nik Dir

KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Ketua Penerangan UMNO Negeri Terengganu Datuk Nik Dir Nik Wan Ku optimis peserta Pertandingan Pidato Online Penerangan UMNO Malaysia (PUMAS) yang mewakili negeri akan melakukan yang terbaik menjelang pertandingan di peringkat UMNO Malaysia kelak termasuk mengupas isu-isu semasa.

Menurut beliau, ini kerana peserta yang bakal mewakili negeri telah memberikan komitmen yang terbaik.

“Saya ada harapan pada dua peserta ini, mereka sangat bagus dan boleh diketengahkan di peringkat UMNO Malaysia nanti,” katanya ketika dihubungi UMNO Online baru-baru ini.

Mengulas lanjut Nik Dir berkata, pertandingan ini menerima sambutan yang menggalakkan daripada ahli-ahli UMNO peringkat Negeri Terengganu namun mereka perlu mematuhi kriteria yang ditetapkan oleh ibu pejabat yang hanya mahukan dua orang peserta sahaja untuk mewakili bahagian.

“Pada penganjuran di negeri kita ada 16 peserta yang mewakili lapan bahagian. Sebenarnya ramai lagi yang mahu sertai namun hanya dua orang sahaja daripada bahagian, kita juga diberi masa dan sebagainya.

“Kami di Terengganu menyambut baik usaha sebegini dan alhamdulillah saya lihat ianya sangat berjaya dan dengan pengalaman yang pertama ini insya-Allah kita akan bawa untuk yang akan datang supaya ada lagi program-program lain kita boleh buat secara maya ini.

“Komitmen yang diberikan peserta juga adalah sangat bagus sebab itu saya katakan walaupun kita buat online ramai yang hendak masuk,” ujar beliau.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Marang berkata program seumpama pidato online ini wajar diadakan kerana ianya sebagai persediaan kepada parti dalam mencari pelapis baharu dalam berpidato.

“Jadi saya ingat bagus kerana ianya satu usaha baik yang dibuat oleh Ketua Penerangan UMNO Malaysia Shahril Hamdan, yang pertama kita berada dalam norma ini sebab kita belum mengalami lagi suasana macam ini.

“Secara kebetulan pula kita sudah hampir dengan Pilihan Raya Umum ke-15 disebabkan ini kita kena mencari bakat-bakat baharu. Secara kebetulan pula kita buat secara online jadi kita kena biasakan penceramah-penceramah kita melakukan pidato berseorangan, bukan senang hendak melakukannya.

“Sebab selaLunya kita berceramah ada orang tapi kali ini kena seorang, kadang-kadang boleh kekok kerana tidak ada idea dan sebagainya,” katanya lagi.

Pertandingan ini diadakan secara online dengan fasa peringkat negeri bermula 8 Ogos sehingga 31 Ogos 2021 bagi mencungkil dan mengasah bakat pemidato dalam parti. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.