Kerajaan Selangor Main Isu Politik Dalam Sidang DUN, Rizam Geza Fokus Isu Rakyat

SHAH ALAM, 24 Ogos – Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Datuk Rizam Ismail melahirkan rasa kecewa kepada Ahli Dewan Negeri di pihak Kerajaan yang sering memainkan isu politik semasa ruang untuk perbahasan dibuka.

Tegas beliau, seharusnya platform yang diberikan tiga kali setahun ini perlulah fokus kepada isu rakyat yang kini sudah sengsara akibat pandemik COVID-19.

“Ada beberapa isu yang saya bangkitkan dan juga cadangan kepada Kerajaan Negeri Selangor dalam menambah baik pengurusan bencana COVID-19 di Negeri Selangor.

“Malangnya, saya amat kecewa kepada Ahli Dewan Negeri di pihak Kerajaan yang sering memainkan isu politik semasa ruang untuk perbahasan dibuka.

“Jalankanlah amanah kita sebagai wakil rakyat di Negeri Selangor. Cukup-cukuplah bermain politik dikala rakyat sedang susah dan tenat,” tegasnya.

Terdahulu, pada persidangan DUN Selangor hari ini, Rizam yang juga ADUN Sungai Air Tawar mencadangkan agar kerajaan negeri menyediakan rumah transit bagi menempatkan mereka yang kehilangan sumber pendapatan susulan pandemik COVID-19.

Ini kerana katanya, situasi pandemik ketika ini menyebabkan ramai rakyat di Selangor khususnya menghadapi krisis ekonomi sehingga menjadi gelandangan kerana tidak lagi mampu membiayai pinjaman peribadi, perumahan dan kenderaan.

“Atas sebab itu saya mencadangkan agar kerajaan negeri menyediakan rumah transit kepada mereka agar tidak menjadi gelandangan sehingga mereka mendapat semula pekerjaan dan mencari kediaman,” katanya.

Dalam pada itu beliau turut bertanya kepada kerajaan negeri sama ada Selangor ada memperuntukkan sebarang jaminan pampasan sekiranya berlaku sebarang komplikasi akibat suntikan vaksin COVID-19 di bawah program Program Vaksin Selangor (SelVAX) kepada penerima vaksin.

Beliau berkata ini kerana kerajaan persekutuan ada memperuntukkan bantuan khas kewangan kesan mudarat vaksin COVID-19 kepada mereka yang mengalami komplikasi akibat COVID-19.

“Jadi saya ingin bertanya kepada kerajaan negeri, jika berlaku sebarang komplikasi akibat suntikan vaksin COVID-19 (dibawah) SelVAX, adakah mereka mendapat jaminan pampasan sama seperti kerajaan persekutuan,” tanya beliau.

Pada 22 Mac lalu, kerajaan memperuntukkan dana permulaan sebanyak RM10 juta bagi bantuan khas kewangan kesan mudarat vaksin COVID-19 untuk rakyat Malaysia dan warga asing yang mendapat kesan sampingan serius setelah menerima vaksin di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Bantuan khas itu dibahagi kepada dua kategori iaitu bantuan khas RM50,000 sekiranya berlaku kesan sampingan serius sehingga memerlukan rawatan berpanjangan di hospital dan RM500,000 jika berlaku hilang upaya kekal atau kematian disebabkan oleh vaksin COVID-19.

Sidang Dewan Negeri Selangor Ke-14 untuk Penggal Ke-4 Tahun 2021 bermula semalam dan bakal bersambung esok. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.