Tawaran Kepada Pembangkang Majlis Pemulihan Negara Bersifat Inklusif – Pemuda UMNO Johor

KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Pelawaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada pihak pembangkang untuk bersama dalam ruang menganggotai Majlis Pemulihan Negara membuktikan sifat inklusif dan keterbukaan kerajaan baharu.

Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata Perdana Menteri juga telah menggariskan keutamaan negara hari ini dengan mengangkat Konsep Kebersamaan, mengenepikan polemik dan kegilaan politik demi memberi fokus serta penekanan dalam usaha menangani COVID-19 serta membawa Malaysia ke arah lebih baik pasca COVID-19.

“Alhamdulillah dan tahniah saya ucapkan kepada Perdana Menteri Ke-9 Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas ucapan sulung kepada rakyat negara ini. Ucapan yang sarat dengan ungkapan ikhlas dan bermakna buat semua lapisan masyarakat di negara ini.

“Intipati paling menarik dan yang ingin saya ketengahkan buat renungan kita bersama adalah pendekatan “Keluarga Malaysia” yang dinyatakan oleh YAB Perdana Menteri. Bagi saya pelawaan YAB Perdana Menteri untuk kita bersama-sama sebagai “Keluarga Malaysia” mengembalikan kesejahteraan dan keselesaan hidup yang pernah dikecapi suatu ketika dulu adalah satu pelawaan dan ungkapan ikhlas sebagai seorang pemimpin yang menggalas tugas tatkala situasi sukar, getir dan penuh cabaran,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Beliau seterusnya mengharapkan apa yang diungkapkan dan diketengahkan oleh Perdana Menteri sebagai titik permulaan satu perubahan baharu dalam negara selepas sekian lama bergelumang dengan polemik serta permasalahan daripada dua tampuk pemerintahan berbeza. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.