Pertandingan Pidato Online PUMAS: Orang Muda Dominasi Peluang Bertanding- Ismail Ab Wahab

KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Penerangan UMNO Negeri Kelantan melahirkan rasa syukur kerana pertandingan pidato secara maya anjuran Penerangan UMNO Malaysia telah berlangsung dengan jayanya selama dua hari iaitu 20-21 Ogos, kata Setiausahanya, Ismail Ab Wahab.

Ujarnya, seramai 15 peserta telah menyertai pertandingan pidato secara maya peringkat negeri Kelantan yang kebanyakkannya terdiri daripada golongan muda lelaki dan perempuan.

“Penglibatan 12 peserta muda daripada keseluruhan 15 peserta yang bertanding dan tiga lagi peserta terdiri dari orang lama yang berpengalaman dalam berpidato dan dikategorikan sebagai ‘orang senior’.

“Dari penelitian, saya dapat melihat kesemua pemidato ini sangat berkualiti dari aspek menguasai isu-isu terkini dan berketrampilan dalam mengupas isu politik semasa sama ada di peringkat nasional mahupun di peringkat setempat.

“Beliau harap agar kesemua peserta pemidato ini dapat diberikan peluang dan ruang untuk mengasah bakat dan mengembangkan lagi potensi masing-masing.

“Kesemua peserta ini akan diketengahkan dan dibawa sebagai penceramah UMNO ketika menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Turut hadir Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kelantan Akhbar Salim dan para juri dalam pertandingan di bilik yang diadakan di pejabat Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, semalam.

Maklumnya, pihak juri telah memutuskan bahawa Nik Farah Dianah Nik Mohd Kamal dari UMNO Bahagian Pengkalan Chepa, Ilennatasya Bahwi dari UMNO Bahagian Pasir Mas dan Muhamad Ikhwan Ibrahim dari Bahagian Bachok akan mewakili UMNO Kelantan dalam pertandingan peringkat Kebangsaan kelak.

Beliau yang bercakap mewakili Ketua Penerangan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Zawawi Othman turut mengharapkan agar Penerangan UMNO Pusat dapat meneruskan aktiviti yang murni ini.

“Saya mengharapkan aktiviti-aktiviti PUMAS dapat diteruskan bagi menyebarkan semangat baru kepada masyarakat khususnya golongan muda.

“Penganjuran ini sangat menarik dan diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang supaya lebih ramai peserta baru khususnya anak-anak muda yang berminat dapat menyertainya,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.