Pertandingan Pidato Online: Pelapis Muda Terus Diasah Sebagai Pelapis Baharu Dalam UMNO – Mustapha Nagoor

KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Ketua Penerangan UMNO Negeri Sembilan, Mustapha Nagoor melahirkan kesyukuran dan berterima kasih kepada anak-anak muda kerana memilih pentas UMNO ini untuk berpidato bagi menyampaikan mesej-mesej kepada rakyat dan pada masa yang sama memilih UMNO sebagai wadah untuk berbakti.

Katanya, anak-anak muda ini berasa yakin dengan UMNO kerana ia adalah parti yang jauh lebih baik berbanding dari parti-parti lain dan UMNO sentiasa memperjuangkan hak rakyat.

“Alhamdulillah…. Pertandingan Pidato Online PUMAS 2021 Peringkat Negeri Sembilan telah selesai disempurnakan.

“Tahniah dan syabas kepada semua peserta yang telah mengambil bahagian terutama sekali bakat-bakat pelapis muda ini akan terus diasah, dan diharapkan dikalangannya juga akan menjadi jentera pidato menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke -15,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Palong mengharapkan agar pemidato-pemidato ini terus kekal bersama UMNO.

“Harapan Penerangan UMNO Negeri Sembilan agar anak-anak muda terus istiqomah berada dalam pentas UMNO ini dan mereka terus berlatih untuk menjadi pemidato-pemidato hebat dan bakal berjuang di dalam PRU yang akan datang,” katanya.

Tambah beliau lagi, pada setiap bulan Penerangan UMNO Negeri Sembilan akan mengadakan sesi bersama pemidato untuk menyampaikan dan mengupas isu nasional mahupun negeri serta mengaplikasi video-video pendek untuk ditularkan.

“Saya minta kepada setiap pemidato ini untuk membuat video-video pendek setiap minggu iaitu mengupas isu-isu semasa atau nasional dalam konteks bahasa yang paling mudah dan untuk ditularkan kepada masyarakat khususnya di Negeri Sembilan supaya rakyat memahami isu-isu semasa yang berlaku di kawasan masing-masing dan ditambah dengan isu lokaliti,” ujarnya.

Dalam masa yang sama beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan, para juri serta Penerangan UMNO Negeri yang telah menjayakan pertandingan ini dengan baik dan teratur.

“Insya-Allah… kita berjumpa lagi untuk program yang akan datang,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.