Ismail Sabri Ajak ‘Keluarga Malaysia’ Bersama Pulihkan Negara

KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini memperkenalkan pendekatan ‘Keluarga Malaysia’ dengan mengajak rakyat pelbagai agama, bangsa dan kaum bersama-sama untuk memulihkan semula keadaan negara ini.

Ismail Sabri dalam ucapan sulung selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri kesembilan semalam, berkata beliau menggunakan konsep Keluarga Malaysia kerana frasa itu bersifat lebih inklusif merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum.

“Kita menyedari kewujudan sesebuah keluarga yang berkahwin dengan pelbagai bangsa dan agama, tetapi nilai kekeluargaan telah mengikat mereka semua.

“Sebab itu, konsep Keluarga Malaysia diambil kerana bagi saya keutuhan negara terikat dengan nilai-nilai didikan sempurna dalam sesebuah keluarga,” katanya dalam ucapan selama 15 minit yang disiarkan di saluran stesen televisyen tempatan.

Sehubungan itu, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera menyeru seluruh Ahli Dewan Rakyat, sama ada dalam atau luar kerajaan supaya menggembleng tenaga untuk memulihkan semula keadaan negara.

“Marilah kita, dengan fikiran terbuka dan dada yang menerima, mencungkil persamaan dengan tidak lagi menggali perbezaan. Kita perlu bersepakat untuk menyelamatkan keluarga kita, iaitu Keluarga Malaysia,” katanya.

Ismail Sabri berkata setiap rakyat negara ini adalah sebagai sebuah keluarga tanpa mengira agama, bangsa dan kaum selain menganggap semuanya seperti keluarga sendiri, sama ada anak muda, mahupun yang telah berusia.

“Kita diibaratkan saling melengkapi, umpama anggota tubuh yang saling memerlukan.

“Saya menginsafi kepayahan, kesengsaraan dan keperitan hidup yang mencengkam kita semua. Ada yang hilang mata pencarian, ada pula yang putus bekalan makanan dan bukan sedikit yang telah dibuang kerja,” katanya.

Dilahirkan dalam keluarga petani, Ismail Sabri berkata beliau memahami keringat dan nilai sesuap nasi, maka sangat menghayati kepayahan dan keperitan hidup rakyat pada masa negara sedang menghadapi krisis ekonomi yang berpunca daripada penularan wabak COVID-19.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.