UMNO Telah Melalui Perjalanan Yang Panjang, Jangan Sia-siakan Peluang Ini – Bung Moktar

KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yakin dengan kebijaksanaan pentadiran negara di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mampu membawa kesejahteraan kepada rakyat.

Beliau juga turut mengucapkan terima kasih kepada Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang telah berjuang dan memperkasakan parti sehingga mencapai kejayaan.

“Matlamat kita adalah untuk meyakinkan rakyat bahawa UMNO benar-benar ikhlas untuk memperjuangkan untung nasib rakyat.

“UMNO telah melalui perjalanan yang panjang, jangan sia-sia kan kedudukan dan peluang yang Allah telah berikan, gunakanlah sebaik mungkin.

“UMNO Sabah yakin Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempu menggalas amanah ini dengan jayanya.
Semoga Allah memberikan kekuatan dan petunjuk kepada kesemua pemimpin kami! Aamiin,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook.

Terdahulu, Naib Presiden UMNO itu hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pelantikan Ahli Parlimen Bera itu adalah bagi mengisi kekosongan selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatan sebagai perdana menteri kelapan pada 16 Ogos lepas susulan kehilangan sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.