Tidak Pernah Tunduk Kepada Tekanan, Ugutan Selepas Kekalahan Pada PRU14 – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan beliau tidak pernah tunduk kepada sebarang tekanan, ugutan atau syarat yang menghancurkan parti selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Malah beliau tetap beriltizam termasuk menjalani proses mahkamah bagi membersihkan nama daripada segala tuduhan yang dilemparkan.

“Jauh sekali memikir untuk melompat-lompat mencari tempat berlindung seperti yang banyak pernah disaksikan.

“Firman Allah S.W.T: Sesungguhnya kebenaran itu adalah daripada Tuhanmu dan jangan kamu termasuk daripada golongan mereka yang ragu-ragu” – memetik daripada Surah al-Baqarah, ayat 147,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Jelas beliau dalam usaha mendapatkan pengadilan ada perundangan perlu dipatuhi termasuklah tidak boleh membuat sebarang kenyataan yang boleh mengundang contempt of court.

“Maka tidak menjawab kepada umum apa jua pertuduhan dihadapi bukanlah bererti tiada jawapan.

“Kedaulatan undang-undang haruslah dihormati. Malaysia adalah sebuah negara berperlembagaan,” jelas beliau.

Bagaimanapun kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu lagi malangnya ada pihak yang masih belum berpuas hati dan enggan menghormati prinsip undang-undang.

“Iaitu not guilty until proven setiap insan yang didakwa dianggap tidak bersalah melainkan ada bukti bersalah.

“Insya-Allah Presiden UMNO kekal tenang mengharungi cabaran dan ujian ini kerana yakin kebesaran Tuhan yang Maha Adil lagi Maha Bijaksana,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.