Pelantikan PM Mandat Besar Kepada UMNO Laksanakan Khidmat Demi Rakyat, Negara – Musa

KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang menganggap pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah satu mandat besar kepada UMNO yang diwakili oleh Perdana Menteri bagi melaksanakan tanggungjawab dan amanah untuk kerajaan baharu menangani pandemik COVID-19.

Pengerusinya, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, pelantikan ini menyemarakkan rasa bangga kepada warga UMNO khususnya UMNO Negeri Pulau Pinang lantaran pemimpin parti tersebut diangkat untuk menjadi teraju kepimpinan Malaysia bagi mendepani pelbagai krisis yang melanda hari ini

“Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang merakamkan ucapan setinggi tahniah kepada YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob atas pelantikan sebagai Perdana Menteri ke-9, hari ini.

“Apa yang pasti, pelantikan ini adalah satu mandat besar kepada UMNO yang diwakili oleh YAB Perdana Menteri bagi melaksanakan tanggungjawab dan amanah untuk kerajaan baharu menangani pandemik COVID-19.

“Ini juga adalah aspirasi rakyat bagi mengembalikan Malaysia ke landasan sebagai sebuah negara majmuk yang memelihara perpaduan, harmoni dan sejahtera di samping memulihkan kembali ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Lebih dari itu katanya, pelantikan ini mendapat sokongan dari majoriti ahli-ahli Parlimen dan juga diperkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, termasuk perkenan daripada Raja-raja Melayu.

“Semoga YAB Perdana Menteri diberikan kekuatan dan ketabahan serta dapat melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi di samping menterjemah hasrat UMNO untuk merealitikan aspirasi rakyat Malaysia keseluruhannya,” katanya lagi.

Dilaporkan, Naib Presiden UMNO Ismail Sabri hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pelantikan Ahli Parlimen Bera itu adalah bagi mengisi kekosongan selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatan sebagai perdana menteri kelapan pada 16 Ogos lepas susulan kehilangan sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.