Pelantikan Ismail Sabri Jaminan Muafakat, Kekuatan Parti – Zolkafly Harun

KUALA LUMPUR, 21 Ogos – UMNO Perak menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) atas perkenan baginda melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Perdana Menteri Malaysia ke–9.

Ketua Penerangannya, Datuk Zolkafly Harun berkata pelantikan Naib Presiden UMNO itu menterjemahkan maufakat, kekuatan dan pendirian parti adalah lebih besar dan lebih utama dari segala kedudukan dan jawatan mana-mana individu dan personaliti.

“Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga telah eksplisit melalui kenyataan media beliau bahawa tidak menamakan dirinya sebagai calon Perdana Menteri.

“Ianya jelas indikator pendirian Presiden tidak memagar diri bagai aur.” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau juga mengharapkan kerajaan baharu ini akan memastikan kestabilan politik, ekonomi dan menguruskan sebaik mungkin pandemik serta memulangkan hasil kembali kepada rakyat.

“Ghalibnya, ekonomi dan pandemik kontemporari ini benar-benar memberi implikasi kepada rakyat. UMNO adalah parti yang dikenali membela kepentingan rakyat.

“Bahang ini telah dirasai oleh setiap ahli UMNO, keputusan ini mempunyai risiko dan geloranya, pasti ada badai dan gelombangnya. Sakit sama bergaduh,luka sama menyiuk.

“Presiden dan kepimpinan parti dilihat melakukan mangkin yang efektif kepada parti dan rakyat. Sekalung penghargaan saya lontarkan kepada Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai agen perpaduan di dalam parti keramat UMNO. UMNO bersama rakyat. Hidup UMNO. Daulat Tuanku,” ujar beliau. –UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.