Kini Masa Bergerak Ke Hadapan Demi Rakyat, Negara… Perhebat Dan Perkukuh UMNO – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata kini masa untuk terus bergerak ke hadapan memperhebat dan memperkukuhkan parti.

Ujarnya, perubahan diusahakan demi rakyat dan negara telah pun dimakbulkan Allah SWT.

“Justeru ayuh kita kembali merapatkan saf perjuangan untuk menempuhi hari mendatang.

“Ingatlah UMNO parti politik terbesar dengan bilangan keanggotaan paling ramai di seluruh Malaysia,” katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebooknya, hari ini.

Jelasnya yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, UMNO memiliki lebih 3.3 juta ahli di 21,883 cawangan di seluruh negara dan inilah kekuatan sebenar parti.

“Kekuatan ini tidak boleh sesekali tersasar dari landasan perjuangan rakyat dan negara.

“Jika begitu pasti tidak elok buat UMNO yang menggalas tanggungjawab besar kepada nusa bangsa.

“Mari kita bersama menggembleng usaha memacu UMNO ke arah kegemilangan dan kejayaan,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama beliau turut berserah, kepada Allah SWT untuk berdoa memohon keberkatan selepas segala daya upaya dengan menyertakan sepotong ayat yang bermaksud:

Hanya Engkaulah yang kami sembah (kami beribadah) dan hanya kepada Engkaulah kami meminta pertolongan.” – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.