Ketokohan Dan Pengalaman Ismail Sabri Mampu Kembalikan Kestabilan Politik – Saarani Mohamad

KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Perak Datuk Saarani Mohamad menjunjung kasih atas perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-9.

Beliau juga berpandangan proses pelantikan Perdana Menteri yang dijalankan secara tertib dengan mengambil kira pandangan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu serta suara ahli-ahli Parlimen mencerminkan kebijaksanaan Seri Paduka Baginda dalam menangani krisis politik supaya tidak terus berlarutan.

“BN Perak juga merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Datuk Seri Ismail Sabri atas pelantikan tersebut dan yakin dengan ketokohan dan pengalaman beliau untuk mengembalikan kestabilan politik sekaligus membawa tumpuan semua pihak dalam usaha memerangi pandemik COVID-19 yang menjejaskan kehidupan rakyat.

“Kami menyeru semua pihak untuk bermuhasabah dan mengambil teladan daripada penzahiran harapan Seri Paduka Baginda supaya semua pihak menghentikan polemik politik serta mengetepikan perbezaan bagi memastikan kemaslahatan dan kesihatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Perak melahirkan penghargaan kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berlapang dada untuk bersetuju menamakan Naib Presiden UMNO sebagai calon Perdana Menteri yang dinamakan oleh BN.

“Harapan kami agar kerajaan ini akan terus stabil bagi memastikan keharmonian politik dan kelangsungan kehidupan rakyat,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.