Ismail Sabri Junjung Kasih Kepada Agong Atas Pelantikan Sebagai Perdana Menteri

PETALING JAYA, 21 Ogos – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas perkenan baginda melantiknya sebagai perdana menteri kesembilan.

Ismail Sabri turut merakamkan penghargaan kepada semua pemimpin parti politik termasuk Ahli Parlimen bebas yang menyokongnya untuk memimpin negara.

“Saya syukur kepada Allah dan izin-Nya, saya dilantik sebagai perdana menteri…

“Ucapan terima kasih juga saya ucapkan kepada rakan-rakan Ahli Parlimen termasuk bebas dan ketua-ketua parti politik,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar pekarangan kediamannya di sini, hari ini.

Naib Presiden UMNO itu juga merakamkan penghargaan kepada Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan majlis tertinggi parti itu atas kepercayaan yang diberikan kepadanya.

Sementara itu, beliau juga memaklumkan akan membuat kenyataan rasmi kepada rakyat Malaysia esok susulan pelantikannya sebagai pemimpin nombor satu negara.

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera selesai mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri di hadapan Al-Sultan Abdullah di Istana Negara pada pukul 2.28 petang ini.

Beliau menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan pada 16 Ogos lepas setelah kehilangan sokongan majoriti Ahli Parlimen. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.