Ahli Politik Diseru Bersama Membela Rakyat, Memakmurkan Negara – Azian

KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Azian Osman menyeru ahli-ahli politik dari semua parti kembali ke tujuan asas yang dilaung-laungkan iaitu membela rakyat dan memakmurkan negara.

Ketua UMNO Bahagian Ipoh Timor itu juga menggesa cukup-cukuplah berpolitik dengan cara yang menyebabkan rakyat jelak dan benci pada orang politik.

“Pemimpin-pemimpin politik di atas tu, pimpinlah yang di bawah ini bukan berlaga di atas tak habis-habis, pecah-belahkan rakyat.

“Buang ego dan dendam kesumat. Bela rakyat, makmurkan negara,” tulisnya dalam satu hantaran di Facebook.

Jelasnya lagi, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak lama lagi untuk masing-masing kembali berpolitik.

“Sementara itu gencatan senjatalah dulu demi rakyat dan negara ini, jangan sampai COVID-19 menghancurkan negara ini,” tegasnya.

Semalam, dalam satu kenyataan Istana Negara berhubung perkenan Yang di-Pertuan Agong melantik Ahli Parlimen Bera yang juga Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Kesembilan, Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan dengan pelantikan Perdana Menteri yang baharu, maka Kerajaan perlu meneruskan usaha-usaha memerangi pandemik COVID-19 dengan segera demi kemaslahatan dan keselamatan rakyat serta kesejahteraan negara yang amat terkesan akibat krisis dan ancaman pandemik ini.

Begitu juga katanya Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar dengan pelantikan Perdana Menteri baharu ini, kemelut politik dapat diakhiri dengan segera dan kesemua Ahli-ahli Dewan Rakyat dapat mengenepikan agenda politik dengan bersatu hati dan bersepakat berusaha menangani pandemik COVID-19 demi kepentingan rakyat dan negara.

“Seri Paduka Baginda mengulangi pandangan bahawa rakyat tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan pada ketika negara bergelut menghadapi isu kesihatan dan kemurungan ekonomi akibat pandemik COVID-19.

“Ahli-ahli Dewan Rakyat turut diingatkan supaya mempamerkan solidariti dengan memberikan keutamaan, komitmen yang tinggi dan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,” ujarnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.