Veteran UMNO Gesa MN Perlu Digerakkan Semula Di Peringkat Akar Umbi

KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Veteran UMNO, Tan Sri Mohd Yussof Latiff menggesa UMNO dan PAS peringkat kebangsaan untuk mengerakkan dan mengaktif semula Muafakat Nasional (MN) di peringkat akar umbi bagi memastikan aktiviti-aktiviti kerjasama antara dua parti terbesar orang Melayu itu tidak terjejas dalam apa jua keadaan.

Tegasnya, MN tidak harus sekadar menjadi retorik politik sebaliknya harus menterjemahkan piagamnya untuk melaksanakn aktiviti-aktiviti dan membuktikan bahawa komitmen memperkukuhkan perpaduan dan kerjasama antara kedua parti yang terbesar orang-orang Melayu sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Saya menyarankan MN melaksanakan aktiviti-aktiviti secara bersama dari peringkat nasional, peringkat negeri sehingga ke peringkat akar umbi dengan mendekati rakyat untuk membuktikan bahawa MN dapat memperkukuhkan perpaduan ummah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Ujar beliau yang pernah dinobatkan Tokoh Melayu Terbilang, sewajarnya sempena mengambil semangat hari ulang tahun yang ke-64 Kemerdekaan Negara beberapa hari lagi, MN perlu menganjurkan satu aktiviti yang berorientasikan untuk Keselamatan, Kesejahteraan, Kebahagian, Kemakmuran dan Kesatuan (5K) rakyat Malaysia.

“MN sudah pasti dapat menjadi pemangkin kepada perpaduan ummah dengan bersatu dan mengenepikan perbezaan fahaman politik demi kelima-lima orientasi yang disebutkan itu.

“Umum telah termaklum bahawa MN merupakan sebuah gagasan kerjasama UMNO dan PAS dan telah memeteraikan Piagam Muafakat Nasional semasa Perhimpunan Penyatuan Ummah pada 14 September 2019 di PWTC Kuala Lumpur.

“MN janganlah sekadar retorik sahaja dan kemudiannya alpa dengan amanah yang dipertangungjawab oleh Perhimpunan Ummah yang penuh bersejarah pada 14 September 2019 bahawa iaitu jawatan dan kedudukan yang diberikan kerana sikap seumpama itu akan menghilangkan keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap MN,” jelasnya.

Katanya, semasa MN digagaskan, ramai rakyat Malaysia ingin melihat perpaduan ummah yang boleh dijadikan panduan dalam politik baharu di Malaysia dan setelah penyertaan kedua-dua parti itu dalam Perikatan Nasional, MN dilihat tidak lagi agresif seperti sebelumnya.

“Adalah menjadi harapan saya dan juga orang-orang Melayu di peringkat bawahan semoga penyertaan kedua-dua parti itu dalam Perikatan Nasional (PN) tidak membantut matlamat dan hala tuju MN ke arah kejayaan dan perpaduan ummah untuk kemajuan dan kestabilan negara Malaysia yang tercinta ini,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.