UMNO Junjung Kasih YDP Agong, Harap Ismail Sabri Dapat Terjemah Hasrat Parti Penuhi Aspirasi Rakyat

KUALA LUMPUR, 20 Ogos – UMNO menjunjung kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas perkenan baginda melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Perdana Menteri Malaysia Kesembilan.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata UMNO berharap dengan perlantikan ini, maka Naib Presiden parti itu menterjemahkan hasrat parti untuk membawa aspirasi rakyat dalam usaha menangani pandemik COVID-19 dan memastikan kesejahteraan, kemaslahatan dan keselamatan mereka sentiasa menjadi keutamaan.

“Ini selaras dengan titah saranan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang juga mahu suatu permuafakatan dan kerjasama di kalangan Ahli-Ahli Dewan Rakyat dapat dilakukan dengan mengakhiri segala kemelut politik demi kepentingan rakyat dan negara,” kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, kerajaan baharu ini juga diharapkan akan berusaha memastikan kestabilan politik dapat dicapai bagi suatu tempoh munasabah sebelum memungkinkan diadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), untuk diserahkan kembali mandat mutlak kepada rakyat.

“Akhir sekali, UMNO merakamkan penghargaan kepada semua Ahli-Ahli Parlimen yang telah memberikan kepercayaan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk diperkenankan pelantikannya oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku Perdana Menteri Malaysia Kesembilan,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

[gview file=”https://umno-online.my/wp-content/uploads/2021/08/Kenyataan-Media-20-OGOS-2021.pdf”]

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.