Presiden, Kepimpinan MKT Dan Ahli UMNO Seluruh Negara Ucap Tahniah Atas Pelantikan Ismail Sabri Sebagai PM

KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersyukur dan mengucapkan tahniah kepada Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dilantik sebagai Perdana Menteri Kesembilan.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) juga merakamkan setinggi penghargaan menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu atas pelantikan tersebut.

“Syukur Alhamdulillah Tahniah YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dan setinggi-tinggi Penghargaan Menjunjung Kasih KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan seluruh Raja-Raja Melayu,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook.

Sebentar tadi, Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik Ismail Sabri, 61, yang juga Ahli Parlimen Bera dan sebelum ini Timbalan Perdana Menteri sebagai Perdana Menteri Malaysia Kesembilan dan lstiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri dijadualkan pada esok, 21 Ogos jam 2.30 petang di lstana Negara.

Manakala bagi Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan pula selain mengucapkan tahniah, beliau berharap agar Ismail Sabri menjadi seorang Perdana Menteri yang berjaya khususnya bagi mendepani cabaran ekoran pandemik COVID-19 yang melanda di negara ini.

Katanya di Twitter, antaranya memastikan negara menang dalam memerangi COVID-19, memperbaiki ekonomi rakyat, menstabilkan politik, mengharmonikan masyarakat dan memulihkan negara keseluruhannya.

“Moga Allah sentiasa membantu beliau dan kabinetnya,” kata Ahli Parlimen Pontian itu lagi.

Begitu juga serunya agar Ismail Sabri menjadikan Al-Quran dan Hadis sebagai pedoman, dunia akhirat diseimbangkan, penasihat yang ikhlas jadi panduan, parti UMNO dan BN jadi perjuangan, hormati rakan dan juga lawan, negara dipulihkan serta rakyat semuanya disejahterakan.
Bagi Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia Datuk Zahida Zarik Khan pula berharap agar segala urusan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri akan dipermudahkan dalam usaha memerangi COVID-19 dan pemulihan negara.

Seterusnya bagi Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berpandangan kerajaan pimpinan UMNO bukanlah destinasi terakhir, mengulas mengenai pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.

“Ia adalah permulaan baru kepada perjalanan yang terhenti. Pendakian yang lebih tinggi, ranjau yang lebih mencabar.

“Didoakan semoga diberi kekuatan, ketabahan, petunjuk dan dipermudahkan. Semoga sukses saudara, menjadi sukses untuk negara tercinta,” katanya di Facebook.

Begitu juga bagi Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berdoa semoga Allahu melimpahkan rahmat, kesejahteraan dan segala kemudahan kepada Ismail Sabri dalam menerajui pentadbiran negara. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.