Negara Perlukan Sebuah Kerajaan Stabil, Fokus Tangani Isu Kesihatan Dan Ekonomi – Dr Akmal

KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Melaka Dr Akmal Salleh berpandangan dalam situasi politik semasa siapapun yang dipilih sebagai Perdana Menteri ia tetap akan menjadi kerajaan yang ampuh dan rapuh.

Ini kerana katanya, kerajaan yang dibentuk hanya mempunyai majoriti yang amat tipis untuk dan kerajaan yang rapuh dan ampuh tidak bagus untuk negara yang kini sedang bergelut dengan isu paling kritikal iaitu isu kesihatan dan juga ekonomi.

“Dalam situasi yang kritikal sebegini sebuah kerajaan yang stabil perlu diwujudkan untuk meredakan suasana politik seterusnya boleh fokus menangani isu kesihatan dan ekonomi negara.

“Antara perkara yang boleh diguna pakai untuk mencapai kestabilan politik adalah dengan melakukan satu perjanjian di kalangan Ahli Parlimen untuk tidak menarik sokongan kepada kerajaan yang disokong sehingga wabak ini berjaya dikekang ataupun sehingga tempoh Parlimen tamat.

“Pihak yang berjaya menjadi kerajaan perlu berlapang dada dengan membentuk ‘war cabinet’ ataupun kerajaan perpaduan untuk mengimbangi ketidakstabilan politik,” katanya dalam satu perkongsian di Facebook.

Seterusnya cadang Dr Akmal, Yang di-Pertuan (YDP) Agong melantik seorang Perdana Menteri yang tidak mempunyai kepentingan kepartian dan seterusnya individu yang dilantik harus memohon darurat dan menubuhkan kerajaan Mageran sehingga isu kesihatan ini berjaya diatasi ataupun sehingga negara mencapai ‘herd immuniti’ dan selepas itu pilihan raya perlu diadakan.

“Jika mana-mana individu yang dilantik menjadi Perdana Menteri dan kisah-kisah politik yang sebelum ini berulang kembali maka negara kita tidak akan berjaya keluar dari pandemik ini.

“Allah berikan kita wabak penyakit dan krisis politik pada masa yang sama untuk kita boleh berfikir apakah hikmah di sebaliknya,” kata Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jasin itu lagi.

Tambahnya juga, sudah tiba sistem politik perlu diubah demi kepentingan rakyat.

“Kestabilan politik itu adalah asas kepada pembangunan sebuah negara. Moga Allah permudahkan segala urusan YDP Agong untuk membuat keputusan.

“Sekadar pandangan dari seorang anak kampung yang sayangkan agama, bangsa dan negara,” ujar doktor perubatan itu lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.