Kerajaan Baharu Perlu ‘U-Turn’ Jangan Benarkan Pengembara Kuarantin Di Rumah – Najib

KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak berharap Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah atau kerajaan baharu akan buat ‘u-turn’ serta-merta dengan tindakan membenarkan pengembara warganegara dan warga asing yang mempunyai kediaman di Malaysia menjalani kuarantin wajib di rumah sejak dua minggu lepas.

“Langkah ini tidak memberi apa-apa manfaat pada rakyat biasa yang sudah lama tidak dibenarkan keluar negara dan hanya menambah risiko bagi kemasukan varian Lambda serta varian Delta Plus yang dikatakan kebal vaksin ke dalam negara pada ketika kes baharu COVID kita masih cecah rekod tertinggi.

“Golongan yang disasar dengan kelonggaran dasar tersebut mampu membayar kos kuarantin di pusat kuarantin atau hotel yang dipantau kerajaan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Selasa lalu, dilaporkan Noor Hisham berkata berdasarkan kajian penjujukan genom yang dilakukan setakat ini tidak mengesan kehadiran varian Lambda di negara ini.

Sebagai rekod, berdasarkan kepada prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Tiga, pengembara warganegara dan bukan warganegara yang mempunyai kediaman di Malaysia (termasuk PR dan Malaysia MY Second Home) yang pulang atau tiba dari luar negara dan telah lengkap divaksin, dibenarkan menjalani kuarantin wajib di rumah dan diberikan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) digital tertakluk kepada perincian yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.