Siapapun PM, Pemuda UMNO Konsisten Perjuangkan Sepuluh Tuntutan Rakyat – Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pihaknya akan terus memperjuangkan sepuluh tuntutan rakyat tanpa mengira siapa yang akan dilantik sebagai Perdana Menteri.

“10 tuntutan rakyat akan terus kami suarakan dan perjuangkan tidak kira siapapun yang naik dan bakal dilantik YDP (Yang di-Pertuan) Agong menjadi Perdana Menteri.

“Itu janji dan iltizam kami Pemuda UMNO,” tegasnya dalam satu hantaran di Facebook.

Di dalam ruangan komen di media sosialnya itu, Dr Asyraf membidas segelintir pihak yang berkata beliau lantang bersuara kerana kemaruk jawatan.

“Jika benar saya kemaruk jawatan sudah tentu sejak awal lagi saya tidak menolak tawaran mengepalai GLC (syarikat berkaitan kerajaan) waktu zaman Kerajaan PN (Perikatan Nasional) sebelum ini.

“Apakah saya akan menerima jika ditawarkan apa-apa jawatan dalam kerajaan yang baharu nanti? Jawapan saya TIDAK. Biarlah saya terus mengepalai Pergerakan Pemuda UMNO untuk menjadi suara semak dan imbang, juga jurubicara rakyat tanpa terikat dengan apa-apa yang boleh membataskan suara kami Pemuda.

“Lagipun kerajaan baharu kelak hanya untuk beberapa bulan yang berbaki sebelum tamat tempohnya bagi diserahkan kembali mandat mutlak kepada rakyat dalam PRU15 (Pilihan Raya Umum Ke-15),” katanya.

Sepuluh tuntutan tersebut adalah seperti berikut:

1. Segerakan Bantuan Khas COVID (BKC).

2. Luluskan kedua-dua kategori penerima BPR / BKC dan penerima Geran Khas Prihatin.

3. Pemudahkan proses rayuan tanpa perku banyak dokumen pembuktian pengurangan pendapatan.

4. Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) wajar ambil kira data terkini. Ramai di kalangan rakyat terutamanya M40 yang jatuh ke kategori B40 sejak awal tahun ini.

5. Kerajaan wajar menambah suntikan fiscal dengan meningkatkan jumlah BKC terutamanya untuk M40.

6. Tambah baik i-Citra dengan dibenarkan pengeluaran secara ‘lump sum’ berbanding berkala setiap bulan.

7. Benarkan akses kepada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan permudahkan pengeluaran i-Citra.

8. Benarkan akses kepda golongan T20 dan M40 untuk mengeluarkan caruman pada kadar lebih tinggi bagi tujuan komitmen seperti hutang.

9. Selaraskan kaedah penawaran moratorium yang dibuat oleh bank-bank dengan tidak mengenakan faedah terakru. Perluaskan kepada Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) dan agensi lain bawah seliaan kerajaan.

10. Bantuan khas kecemasan untuk peniaga-peniaga kecil yang ramai mula terpaksa gulung tikar. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.