Pemuda UMNO Segera Bantu Mangsa Banjir Di Kedah

KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Susulan banjir yang melanda di beberapa lokasi di sekitar kawasan berhampiran Gunung Jerai di Yan, Kedah petang semalam, Pergerakan Pemuda UMNO bingkas tampil menghulurkan bantuan.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ketika melancarkan misi bantuan di Lobi Menara Dato’ Onn di sini berharap agar usaha dan kerjasama daripada beberapa pihak dapat membantu rakyat Negeri Kedah khususnya di kawasan yang terkesan akibat banjir itu.

“Susulan keadaan banjir yang berlaku di Kedah, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, hari ini telah menerima 4000 buah kotak air minuman, barang keperluan asas dan pelitup muka daripada Ranhill Utilities Berhad untuk dibawa serta diagihkan buat penduduk yang terlibat.

“Turut diserahkan juga Kontena Rawatan Air Bergerak yang akan ditempatkan di lokasi yang terjejas bagi memproses segera air bersih dari sumber terdekat,” katanya.

Jelasnya lagi, sebanyak sebelas buah kenderaan dari Pemuda UMNO Bahagian Kota Raja akan bergerak ke Kedah bagi membawa barangan ini dan Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah, diwakili Ketua Pemuda Negeri Mohd Fadzil Zolkifli untuk menerima dan mengagihkan bantuan di sana.

Dilaporkan, dalam kejadian jam 5 petang semalam, antara lokasi terlibat banjir selepas kejadian kepala air itu ialah kawasan di kaki gunung dan kawasan berhampiran sungai iaitu Perigi, Teroi Bukit, Singkir, Kampung Permatang Keramat, Kampung Lubuk Boi, Pekan Yan Besar, Titi Teras, Kampung Acheh dan Kampung Setoi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.