Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara Mengiringi Langkah, Semoga Dipermudahkan Segala Urusan – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersyukur dapat menyempurnakan tanggungjawab sebagai presiden parti dan juga Ahli Parlimen menghadap Kebawah Duli Tuanku Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, petang ini.

“Kesetiaan kepada Raja dan Negara mengiringi langkah ini. Ya Tuhan permudahkanlah segala urusan.

“Semoga Allah SWT merahmati Ketua Negara Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah,” ujar Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan juga Ahli Parlimen Bagan Datuk dalam satu catatan di Facebooknya.

Dilaporkan, hari ini bermula jam 10 pagi Ahli-ahli Parlimen dari UMNO dan Barisan Nasional (BN), PPBM, PAS, GPS dan beberapa yang lain dipanggil untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mengesahkan surat akuan mereka atas pencalonan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.

Ahli-ahli Parlimen UMNO/BN jelas bersatu hati apabila bersama-sama menaiki bas yang disediakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini sejak sesi kumpulan pertama lagi.

Kumpulan pertama dipanggil menghadap adalah pada jam 10 pagi, kumpulan kedua 11.10 pagi, kumpulan ketiga 2 petang, kumpulan keempat 3.10 petang dan kumpulan kelima 4.20 petang.

Semalam, melalui notis Yang Dipertua Dewan Rakyat, Ahli-ahli Parlimen diminta menyerahkan satu surat akuan kepada Istana Negara selewat-lewatnya sebelum jam 4 petang untuk menamakan seorang calon Perdana Menteri baharu bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletakkan jawatan pada Isnin lalu. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.