Ahli Parlimen UMNO/BN Dipanggil Menghadap YDP Agong, Sahkan SD Pencalonan PM – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Ahli-ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) terus bersatu hati menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara di sini dengan bersama-sama menaiki bas yang disediakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini pagi tadi.

Ini berhubung pengesahan surat akuan (SD) mereka atas pencalonan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri yang baharu ekoran perletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin baru-baru ini.

Sebagaimana yang dimaklumkan oleh Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan yang juga merupakan Ahli Parlimen Pontian, terdapat beberapa selang masa yang diberikan kepada kumpulan parti yang terbabit.

“Saya mendapat undangan daripada Setiausaha Dewan Rakyat malam tadi bahawa saya dititah untuk menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada hari ini untuk mengesahkan SD sokongan saya kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku calon Perdana Menteri.

“Saya juga diberi satu senarai oleh Speaker Dewan Rakyat pagi ini sejumlah 114 ahli Parlimen yang dijemput untuk menghadap dan kumpulannya bermula pada pukul 10 pagi, kumpulan kedua 11.10 pagi, kumpulan ketiga 2 petang, kumpulan keempat 3.10 petang dan kumpulan kelima 4.20 petang,” katanya kepada media di Lobi Menara Dato’ Onn, di sini.

Dilaporkan pagi tadi, beberapa ahli Parlimen UMNO/BN bersama-sama menaiki bas menuju ke Istana Negara antaranya seperti Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Ahli Parlimen Lipis Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan Ahli Parlimen Jelebu Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Seterusnya tambah Ahmad, beliau difahamkan hanya ahli Parlimen dari UMNO/BN, PPBM, PAS, GPS dan beberapa yang lain sahaja yang dipanggil untuk menghadap YDP Agong.

“Saya juga difahamkan sebelum ini bahawa hanya kumpulan yang melebihi paras kemenangan sahaja yang dijemput, jadi dengan lain perkataan calon kedua dan mereka yang menyokong calon kedua itu daripada maklumat yang saya ada mereka tidak dijemput untuk hadir menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Tujuan mengadap ini saya difahamkan ialah untuk mengesahkan SD yang telah buat dua hari lepas adakah sukarela atau berada di bawah tekanan atau lain-lain,” katanya.

Justeru bagi dirinya, beliau secara sukarela mencadangkan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.

“Saya yakin keupayaan beliau, telah lama kenal ketika sama-sama menjadi Setiausaha Politik. Beliau pernah menjadi Setiausaha Politik kepada Tan Sri Sabaruddin Chik, saya ketika itu menjadi Setiausaha Politik kepada Datuk Mustapha Mohamed.

“Beliau seorang peguam, pernah jadi ketua pembangkang. Kami sama-sama jadi pembangkang 22 bulan apabila tahun 2018 dan baru-baru ini tentulah kita kenal beliau kerana menjadi menteri kanan yang menangani COVID tiap-tiap hari masuk dalam televisyen dan semua media sebagaimana beliau membantu rakyat menangani dan memerangi COVID. Kemudian sekitar 40 hari beliau dapat menjadi Timbalan Perdana Menteri.

“Jadi pada kaedah susunan itu saya kira walaupun beliau nombor tiga dalam UMNO selaku Naib Presiden tetapi pengalaman beliau itu saya kira sudah mencukupi menjadi seorang Perdana Menteri yang baik, InsyaAllah,” jelasnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.