Tugas Berat Menanti Perdana Menteri Baharu Imbangi Sosio-Ekonomi Dan Persepsi – Azhari

KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Siapa pun Perdana Menteri baharu yang dilantik kita sebagai rakyat jelata wajar menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong berhubung pelantikan jawatan tersebut, demikian pandangan Ketua UMNO Shah Alam Datuk Azhari Datuk Shaari.

Menurut beliau sebagai ahli UMNO yang memperjuangkan agama, bangsa dan tanahair masing-masing perlu berpegang kepada tiga elemen ini untuk terus kekal relevan sebagai parti yang menjadi tulang belakang Barisan Nasional (BN).

“Keputusan parti menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri amat disokong berdasarkan pengalaman beliau menangani pandemik COVID-19.

“Hari ini fokus kita adalah untuk memerangi pandemik tersebut yang telah menyebabkan lebih 10,000 orang meninggal dunia di negara kita. Perdana Menteri yang dilantik tidak boleh tidak mesti mempunyai kemampuan dan pengalaman menangani krisis seumpama itu,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Azhari seterusnya menambah satu lagi aspek yang perlu ditangani dengan komprehensif dan efektif adalah ekonomi, yang memungkinkan banyak ‘pintu’ ekonomi akan dibuka.

Tambahnya apabila banyak pintu dibuka, sudah pasti prosedur operasi standard (SOP) perlu diperkasa dan memerlukan pemantauan berkala dilakukan terhadap sesuatu premis pekerjaan.

“Kesemua ini perlu dikawal selia dengan sebaiknya oleh Perdana Menteri baharu agar kes COVID-19 dapat dilandaikan. Pemberian Vaksin perlu diberi kepada seluruh rakyat tanpa kompromi bagi memastikan imuniti kelompok dicapai di peringkat nasional.

“Sesungguhnya tugas berat menanti Perdana Menteri baharu untuk mengimbangi sosio-ekonomi dan persepsi masyarakat yang inginkan kebebasan untuk ke sana sini waima dine in di kedai. In sha Allah,” ujarnya.- UMNO Online

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.